'Medan asah bakat murid-murid'

Iklan
Rohayati

Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang merupakan karnival pendidikan terbesar di negeri Selangor menjadi medan mengasah bakat murid-murid terutama dalam bidang teknologi pendidikan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Rohayati Abd Hamed berkata, karnival berkenaan merupakan peluang terbaik untuk sekolah membawa murid-murid mereka bagi mengasah bakat dalam penganjuran pelbagai aktiviti.

Iklan
Iklan

"Pelbagai pengisian menarik diadakan sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari termasuk program untuk guru-guru yang dianjurkan oleh Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan, JPN Selangor seperti Bengkel Artificial Intelligence (AI) dan Augmented Reality (AR); Seminar Guru Perpustakaan dan Media; Seminar Jom Jadi Microsoft Innovative Educator Expert (MIEE) dan Program bersama-sama Apple Teacher.

"Bagi murid-murid pula, mereka boleh menyertai bengkel penulis cilik, pertandingan koir, tarian Malaysia, Sinar Bestari Got Talent, pertandingan kawad kaki, dikir barat dan banyak lagi,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Seksyen 4, di Shah Alam, Selangor.

Iklan

Julung kali diadakan, Karnival Pendidikan Sinar Bestari adalah kerjasama antara JPNS dengan Kumpulan Karangkraf dan ia akan berlangsung pada 10 hingga 12 Mei depan di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15, di Shah Alam, Selangor.

Rohayati berharap pihak sekolah mengambil peluang untuk membawa murid-murid ke Karnival Pendidikan Sinar Bestari ini bagi menerapkan pembelajaran di luar bilik darjah sekali gus dapat menimba ilmu dan pengetahuan sepanjang karnival.

Iklan

Ujarnya lagi, pelbagai pameran turut disediakan melibatkan agensi kerajaan dan swasta pada karnival tersebut.

"Mari tunjukkan semangat kebersamaan kita dan kunjungi karnival pendidikan terbesar di Selangor ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat beberapa tujuan dan objektif penganjuran Karnival Pendidikan Sinar Bestari iaitu melahirkan lebih ramai tenaga pakar dalam bidang teknologi pendidikan serta teknologi baharu sebagai persediaan negara ke arah Industri Revolusi 4.0 (IR 4.0).

"Selain itu, ia adalah untuk meningkatkan warga pendidik yang berkompetensi dalam penggunaan teknologi digital serta berperanan sebagai bimbingan dan tunjuk ajar.

"Ia juga mengoptimum penggunaan teknologi digital dalam pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPC) bagi melahirkan murid-murid yang fasih digital.

"Ini sekali gus dapat memupuk generasi digital yang berpengetahuan, berkemahiran, beretika, bertanggungjawab dan selamat dalam penggunaan teknologi digital,” ujarnya.

Beliau menambah, JPNS tidak mahu melihat individu yang mengetahui penggunaan digital tetapi tidak beretika tanpa memikirkan kesan terutama daripada penyebaran maklumat.

Justeru, Rohayati berkata, melalui karnival berkenaan, ia diharap dapat melahirkan generasi digital beretika dan pada masa yang sama berharap kerjasama dalam penganjuran karnival seperti ini dapat di teruskan pada masa akan datang.