Ladang awam dan zoo haiwan peliharaan, Farm In The City (FITC) bakal menjadi tarikan pengunjung Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang akan berlangsung di Dataran Karangkraf di sini pada 10 hingga 12 Mei depan.
Eksekutif Kanan Jualan dan Pemasaran FITC, Shamsul Naim Muhamad Jefri berkata, pelbagai program menarik dirangka kepada pengunjung-pengunjung Karnival Pendidikan Sinar Bestari untuk mengenali lebih dekat hidupan liar, haiwan peliharaan dan alam sekitar.
Beliau memberitahu, FITC bukan sekadar menjadi sebuah ladang awam dan zoo haiwan peliharaan, tetapi aktif dalam mempromosikan pendidikan hidupan liar serta alam sekitar yang dibangunkan dengan terperinci untuk pelajar.
Antara haiwan-haiwan yang akan dibawa pada karnival berkenaan adalah keldai pygmy, lembu miniature, kambing pygmy, turkey chicken, ball python, fan tail pigeon, sail fin dragon, blue tongue skink, bearded dragon, hedgehog, arnab dan guinea pig.
"Bagaimanapun semua ‘bakat-bakat’ berkenaan perlu menjalani pemeriksaan doktor veterinar terlebih dahulu untuk memastikan ia fit untuk bertemu dengan orang ramai,” ujarnya.
Shamsul Naim menambah, lembaran pendidikan dan maklumat juga dijangka akan diedarkan kepada para pengunjung bagi memperkayakan lagi pengetahuan mereka selepas mengunjungi karnival.
Bahkan katanya, pengunjung berpeluang membelai ‘bakat-bakat’ yang dibawa untuk mengenali dengan lebih dekat haiwan-haiwan tersebut.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, pihaknya akan merancang dan melaksanakan pelbagai program pendidikan menyasarkan kepada murid-murid sekolah dari semua peringkat umur bertemakan pemuliharaan serta pemeliharaan di FITC.
"Ia adalah sebahagian daripada misi FITC memberi pendedahan dan mendidik orang ramai terutama pengunjung berhubung habitat, tingkah laku dan taburan geografi haiwan dalam landskap global.
"Kita berharap pengunjung bukan sahaja dapat mendekati haiwan-haiwan apabila mengunjungi FITC tetapi memperoleh ilmu pengetahuan untuk memastikan survival kehidupan fauna untuk generasi masa hadapan," katanya.