Sejak akhir-akhir ini, kebanyakan tempat di negara kita mengalami musim panas yang melampau.
Ia menjadi lebih ekstrem menjelang Jun ini apabila negara dijangka bakal mengalami fenomena El-Nino.
Pakar Alam Sekitar, Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman menyarankan masyarakat melakukan persediaan awal bagi menghadapi fenomena El Nino kuat yang diramal Jun ini, bagi mengelakkan kepanikan melampau.
"Berdasarkan rekod setakat tahun 2015, El Nino pernah melanda negara sebanyak 12 kali iaitu sejak 1951 hingga 1952 dan kejadian yang paling teruk pada 1997 hingga 1998 apabila catatan suhu tertinggi 40.1 darjah Celsius direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis, pada 9 April 1998.
"Oleh itu, kerajaan perlu melakukan persediaan dengan memantau semua aras air sungai dan empangan, mengaktifkan pelan tindak balas kecemasan, meneroka sumber air alternatif, menggalakkan orang ramai dan industri menjimatkan penggunaan air, melakukan penghasilan awan serta menyediakan sokongan logistik.
"Selain itu, kerajaan juga harus mempertingkatkan segala bentuk bantuan perubatan dan kecemasan seperti ubat-ubatan kepada mangsa selain alat bantuan kecemasan kebakaran sekiranya berlaku kebakaran," katanya.
Bagi Penasihat Pertubuhan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, fenomena El Nino akan meningkatkan risiko penyakit berkaitan dengan bawaan vektor seperti denggi dan malaria serta penyakit bawaan air dan makanan seperti tifoid dan penyakit saluran pernafasan.
Katanya, antara persiapan yang boleh dilakukan orang ramai bagi menjaga kesihatan masing-masing adalah menyimpan air dan makanan yang sihat serta mencukupi selain memperbanyakkan berteduh di kawasan seperti pokok dan bumbung jika keluar dari rumah.
Dalam konteks El Nino, Sinar Bestari tertarik untuk berkongsi definisi dan kesan yang melanda negara akibat fenomena ini kepada guru dan pelajar.
Ini kerana terdapat segelintir dalam kalangan mereka kurang mengetahui maksud sebenar El Nino.
Secara ringkasnya, El Nino merupakan fenomena pemanasan suhu permukaan air laut yang biasanya berlaku dalam tempoh enam hingga 18 bulan setiap dua hingga tujuh tahun di Timur Lautan Pasifik berhampiran Peru.
Kejadian semula jadi itu berlaku apabila angin yang biasa bertiup dari kawasan Lautan Pasifik di benua Amerika Selatan telah menuju ke kawasan Australia dan negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Filipina.
Dek situasi itu, secara tidak langsung ia menyebabkan berlakunya cuaca panas dan kemarau serta kadar hujan yang sedikit di negara-negara berkenaan.
Pada masa sama, kawasan Timur Lautan Pasifik yang merangkumi negara-negara Amerika Selatan seperti Peru, Chile, Argentina, Bolivia, Colombia, Ecuador dan Brazil akan menerima angin kencang yang mengakibatkan hujan lebat, ribut petir dan banjir besar.
Terdapat empat kesan yang akan melanda negara sekiranya berlaku El Nino tidak lama lagi.
Empat kesan tersebut terdiri daripada
1) Kesihatan
Perubahan suhu dan cuaca boleh mempengaruhi populasi dan kelakuan vektor nyamuk sekali gus meningkatkan potensi jangkitan. Hal ini kerana keadaan cuaca yang lebih panas akan menyebabkan vektor nyamuk untuk hidup dan matang dengan lebih cepat serta memendekkan tempoh pengeraman virus.
2) Pencemaran udara
Semasa kejadian El Nino pada 1997-1998, cuaca panas dan kering yang melampau telah menyebabkan kebakaran hutan hampir 10 juta hektar di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.
Kebakaran hutan di Indonesia turut mengundang pencemaran udara di negara- negara berjiran terutamanya Malaysia, Singapura dan Thailand.
Dalam keadaan musim kering dengan taburan hujan yang sedikit atau tidak ada langsung, pencemaran tersebut akan menjadi lebih meruncing sehingga menyumbang kepada masalah jerebu.
3) Krisis bekalan air
Musim kering akan menyebabkan penyusutan di kawasan tadahan air seperti empangan, tasik dan kolam disebabkan kadar sejatan yang tinggi dan tidak ada hujan.
Pengalaman semasa El Nino melanda pada 1997–1998 sudah cukup memeritkan, terutamanya bagi penduduk di Lembah Klang apabila kira-kira 1.8 juta orang terpaksa berhadapan dengan catuan air selama enam bulan.
Bagi menghadapi El Nino, orang ramai perlu bekerjasama dengan menjimatkan penggunaan air dan tidak menggunakan air untuk aktiviti yang tidak perlu.
Mereka juga perlu bersedia dengan membuat tadahan air bermula dari sekarang.
4) Aktiviti luar dan ekonomi
Apabila El Nino melanda, kegiatan harian manusia terjejas teruk dan secara tidak langsung memberikan kesan kepada ekonomi.
Misalnya, jerebu serius yang berpunca daripada El Nino menyebabkan kualiti udara tidak sihat dan jarak penglihatan terhad.
Kesannya, aktiviti luar perlu dikurangkan, sekolah ditutup, kedatangan pelancong terjejas dan sektor pengangkutan termasuk penerbangan tergendala.
Dari segi pertanian pula, keadaan kemarau akan menjejaskan pengeluaran padi, buah-buahan dan sayur-sayuran yang amat bergantung pada air.
Malah, industri kelapa sawit di rantau ini boleh terjejas sehingga 15 peratus sekiranya El Nino berpanjangan.
Industri berkaitan seperti bahan api bio, makanan, kosmetik sabun yang menggunakan minyak kelapa sawit dalam proses pengeluaran turut akan menerima tempias.
Selain itu, industri yang memerlukan air sebagai bahan dalam proses pengeluaran produk seperti makanan dan minuman juga bakal menerima kesan besar sekiranya berlaku catuan bekalan air kerana kemarau berpanjangan.
Akhir sekali, Sinar Bestari menasihatkan semua agar berjaga-jaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan dan didoakan kita sentiasa dilindungi oleh ALLAH SWT.