Sekumpulan mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program Teach the Needs 4.0 dalam membantu murid-murid sekolah rendah yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang, Kuala Lumpur berhubung kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).
Menurut Pengarah Program, Aqilah Abd Rahman, Teach the Needs 4.0 memfokuskan sesi pembelajaran dan perkongsian 3M dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik berdasarkan modul yang disediakan.
"Program yang bertemakan ‘Pendidikan Untuk Semua’ telah diadakan sebanyak tiga siri iaitu pada 29 Mac, 2 dan 9 April lalu di PPR Hiliran Ampang.
"Ia dianjurkan Sekretariat Kesukarelawanan dan Mobiliti, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KMB), UPM dengan kerjasama Pusat Pemerkasaan Pendidikan dan Komuniti (PREPKOM).
"Kira-kira 30 murid sekolah rendah kategori keluarga berpendapatan rendah B40 terpilih mengikuti Teach the Needs 4.0 dengan pengisian aktiviti seperti teka silang kata, cuba teka, kuiz mengira dan radio rosak,” ujar Aqilah.
Salah seorang sukarelawan UPM bagi program tersebut, Muhammad Haziq Muhamad Zin berkata, para peserta menunjukkan perubahan positif terhadap tahap penguasaan bagi subjek tertentu menerusi aktiviti dan latihan yang dilakukan.
"Pada hari pertama, para peserta agak pasif dan kurang berinteraksi sehingga memberikan sedikit cabaran buat kami di barisan sukarelawan.
"Bagaimanapun, pada hari seterusnya, peserta semakin kreatif dan selesa untuk belajar serta melakukan aktiviti bersama-sama. Malah ada antaranya melahirkan hasrat untuk menyertai program sebegini pada masa akan datang,” ujar Muhammad Haziq.
Sementara itu, Pengetua Kolej KMB UPM, Profesor Madya Dr Jasronita Jasni berkata, Teach the Needs 4.0 dapat membantu melancarkan sesi pembelajaran anak-anak sekolah rendah di PPR Hiliran Ampang.
"Selain itu, program juga dapat menjadi wadah kepada mahasiswa untuk berkongsi ilmu, mengasah kemahiran berkomunikasi dan memberi peluang pihak kolej menjalinkan kerjasama dengan PREPKOM bagi program akan datang,” kata Jasronita.