Baru-baru ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan permohonan UPUOnline Sesi Akademik 2023/2024 Fasa Kedua telah dibuka hingga 9 Jun depan.
Ia terbuka kepada calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), asasi, matrikulasi dan diploma atau setaraf yang belum membuat atau mengemukakan permohonan UPUOnline pada Fasa Pertama.
Bagi calon yang layak, mereka harus mengisi permohonan secara dalam talian sebelum tibanya tarikh tutup.
Bagaimanapun, suka Sinar Bestari ingatkan ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian calon lepasan SPM sebelum mengisi borang.
Perhatian yang dimaksudkan ialah beri tumpuan kepada lapan dasar dan kriteria pemilihan bagi memastikan calon memenuhi semua syarat dan keperluan yang diletakkan Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA) di Jabatan Pendidikan Tinggi atau lebih dikenali UPU.
Dasar pemilihan adalah berasaskan prinsip meritokrasi dengan mengguna pakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum.
Ikuti perkongsian di bawah untuk ketahui dasar dan kriteria pemilihan lepasan SPM bagi kemasukan ke institut pengajian tinggi (IPT) melalui permohonan UPU.
1) Pencapaian akademik dalam peperiksaan SPM.
2) Pencapaian dalam aktiviti kokurikulum.
3) Kombinasi mata pelajaran yang bersesuaian dengan program pengajian dipohon.
4) Gred mata pelajaran untuk tujuan Pengiraan Markah Akademik.
5) Memenuhi syarat khas seperti yang ditetapkan oleh IPT awam dan Institusi Kemahiran Tinggi Awam (ILKA).
6) Lulus temu duga dan/atau ujian (jika berkenaan).
7) Pilihan program pengajian mengikut keutamaan.
8) Bilangan tempat yang disediakan oleh IPTA dan ILKA.
Akhir sekali, calon diminta untuk bersedia membuat persiapan sebaik mungkin berhubung pemilihan program pengajian.
Sekiranya berhadapan kesulitan, mereka digalakkan untuk merujuk dengan guru-guru atau individu yang lebih pakar dan berpengalaman.