Mahasiswa UA dapat ‘durian runtuh’, terima subsidi tiket penerbangan RM300

Iklan
Anthony Loke

Kerajaan telah memperkenalkan inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan sebanyak RM300 kepada mahasiswa universiti awam (UA) untuk laluan domestik Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan mulai 15 Ogos depan.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, inisiatif itu bakal memanfaatkan 56,000 penuntut UA dengan implikasi kos sebanyak RM16.8 juta.

Iklan
Iklan

"Inisiatif ini akan dilaksanakan melalui kaedah pemberian credit shell iaitu syarikat penerbangan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada setiap penuntut yang layak untuk ditebus bagi pembelian tiket penerbangan laluan domestik.

"Bantuan subsidi tiket penerbangan berkenaan hanya sah untuk pembelian tiket sehala atau dua hala bagi laluan penerbangan kelas ekonomi antara tempat asal dan tempat mereka sedang menuntut,” ujarnya di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya pada Rabu.

Iklan

Sambung Loke, baucar tersebut hanya boleh digunakan untuk pembelian tiket penerbangan daripada syarikat penerbangan Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air, Firefly dan MYAirlines.

"Tarikh akhir penebusan baucar untuk penebusan tiket adalah pada 31 Oktober depan namun pembelian tiket penerbangan untuk perjalanan selepas tarikh akhir penebusan baucar adalah dibenarkan,” jelas beliau.

Iklan

Mengulas lanjut, Loke memberitahu, penuntut yang ingin memohon bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan itu boleh membuat semakan kelayakan melalui laman sesawang Kementerian Pengangkutan yang akan dimaklumkan kemudian.

"Sekiranya tidak layak, mereka boleh membuat semakan dan rayuan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui universiti masing-masing atau membuat permohonan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan di laman sesawang syarikat penerbangan yang dipilih,” ujarnya lagi.