Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang, Selangor, baru-baru ini telah dinobatkan Johan Keseluruhan pada Majlis Anugerah Digital Utilisation And Technology Awards (DUTA) 2022 Peringkat Negeri Selangor.
Majlis yang diadakan di Dewan Karangkraf, Shah Alam, Selangor, pada 4 Julai lalu turut mengumumkan Unit Sumber Teknologi Pendidikan, PPD Gombak sebagai pemenang Anugerah Khas menerusi inovasi i-SEL NILAM & Web Pusat Sumber Sekolah (PSS) Selangor.
Pegawai Pendidikan Daerah, PPD Klang, Maimunah Mustaffa ketika ditemui Sinar Bestari berkata, kemenangan Johan Keseluruhan adalah kejayaan seluruh warga Klang membabitkan guru, pelajar dan sekolah di daerah itu.
"Kemenangan ini adalah satu yang membanggakan namun kita tidak boleh cepat berpuas hati dengan kejayaan diraih.
"Ini kerana masih banyak penambahbaikan perlu dilakukan dalam aspek-aspek tertentu dan paling penting, para guru harus memberi peluang, mencungkil bakat dan potensi pelajar untuk dikembangkan ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.
Anugerah DUTA 2022 yang dianjurkan Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) merupakan pengiktirafan yang menghargai pelajar, guru, sekolah dan PPD yang menyertai pelbagai pertandingan tahun lalu.
Beberapa kategori telah dipertandingkan iaitu National Security Discourse: Cybersafe Challenge Trophy; Minecraft Challenge: Education Edition; Video Kreatif Keselamatan Siber; Cabaran Keselamatan Siber Nasional dan Pembangunan Mobile Apps.
Tidak ketinggalan kategori Tokoh Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) Bahasa Melayu; Pengkarya Muda Selangor; Ikon Guru Penyelaras Bestari; Ikon Guru Perpustakaan Dan Media; Studio TV PSS Terbaik; Ikon Murid TV PSS; Anugerah PSS Cemerlang dan banyak lagi.
Sementara itu, menurut Pengarah Pendidikan JPNS, Dr Jafri Abu, Anugerah DUTA 2022 begitu penting dan bermakna dalam mengiktiraf segala sumbangan dan usaha gigih yang diberikan pihak berkaitan dalam memartabatkan dan memenuhi Aspirasi Pendidikan Negara.
"Semua sedia maklum, pelaksanaan pelbagai program dan pertandingan adalah untuk memberi peluang kepada pelajar mengasah bakat dan minat mereka.
"Kepelbagaian program dan pertandingan yang diadakan ini dilihat sebagai platform terbaik untuk mereka memperkembangkan potensi dan bakat diri ke arah pembentukan karakter serta nilai jati diri masing-masing,” ujarnya dalam teks ucapan yang dibacakan Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan, JPNS, Mohd Nuri Hussin.
Hadir sama, Timbalan Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah, JPNS, Mohd Azuan Mohd Nawawi; Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli; Editor Eksekutif Lifestyle, Meen Tahrin; Pegawai PPD; Pengetua dan Guru Besar serta para guru dan pelajar.