Bukan senang tamatkan Master dan PhD, penulis Genesis kongsi kisah 

Iklan


Menamatkan pengajian tepat pada masanya merupakan impian buat semua siswa terutama yang menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi seperti Ijazah Sarjana (Master) dan Doktor Falsafah (PhD)

Namun, adakalanya disebabkan kekangan kewangan dan juga menghadapi pelbagai cabaran membuatkan impian itu terbantut.

Menyedari permasalahan tersebut, baru-baru ini seorang penulis, Zamir Mohyedin berkongsi ‘asam garam’ pengajian di kedua-dua peringkat tersebut.

Ujarnya, kebanyakan pelajar pascasiswazah ingin menamatkan pengajian secepat mungkin disebabkan faktor kewangan.

"Hendak tamatkan pengajian pada masanya, tulis tesis ekspres, cepat terbit makalah memang bukan budaya yang bagus.

"Tapi kena hadap juga realiti pelajar pascasiswazah ini bukan semua orang berduit. Kalau dibayar elaun, paling lama pun tiga tahun. Secara purata setahun lebih atau dua tahun,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat lalu.

Tambah graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu, mereka yang menyambung pengajian perlu merancang kewangan setiap bulan.

Rentetan daripada masalah tersebut, ia membuatkan ramai dalam kalangan rakan-rakannya hilangan motivasi untuk menghabiskan pengajian masing-masing.

"Pelajar Master dan PhD setiap bulan kena simpan duit untuk bayar yuran setiap semester. Kena fikir perbelanjaan harian lagi.

"Kalau ada keluarga, lagilah berat tanggungannya. Itu kalau dapat elaun, kalau tidak dapat elaun? Lagi teruk.

"Saya ada ramai kawan yang terpaksa kerja sepenuh masa disebabkan kehabisan elaun. Pengajian pula separuh masa, eksperimen buat sebelah malam ataupun hujung minggu. Tapi tahan sebentar sahaja,” kata penulis buku Genesis terbitan The Patriots itu lagi.

Anak kelahiran Johor tersebut turut menceritakan bagaimana dia terpaksa berkorban masa bagi memastikan segala tugasan semasa menyambung PhD dapat diselesaikan tepat pada waktunya.

"Saya habiskan PhD dalam tempoh dua tahun setengah sebab elaun cukup-cukup makan sepanjang tempoh pengajian saya.

"Tapi banyak kena berkorban. Tidur tidak cukup, purata tiga hingga empat jam sehari. Hujung minggu pun buat kerja.

"Kadang duduk makmal sampai malam. Keluar bercuti pun dalam kepala fikir pasal eksperimen dan analisis. Belum campur lagi tekanan eksperimen selalu sangat tidak jadi,” coretnya.

Justeru, Zamir merumuskan, banyak perkara perlu ditelusuri dalam sistem pengajian tinggi kini kerana secara keseluruhan memang dilihat tidak masuk akal.