UKM dan PTTI jalin kerjasama, naik taraf pendidikan mahasiswa

Iklan
Naik taraf bidang pendidikan mahasiswa bagi membantu kebolehpasaran mereka dalam industri kini menjadi fokus utama sama ada dalam institut pengajian tinggi awam (IPTA) mahupun swasta (IPTS).

Bagi merealisasikan usaha berkenaan, baru-baru ini, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan PTTI Group Sdn Bhd bagi membina rangkaian profesional melalui kepakaran dalam bidang pendidikan, keusahawanan dan penyelidikan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, UKM, Profesor Datuk Dr Norazah Mohd Nordin berkata, kerjasama itu bakal memberi impak besar kepada kedua-dua pihak.

"Kerjasama ini bakal memberi impak besar kepada kedua-dua pihak merangkumi penawaran latihan industri kepada pelajar prasiswazah Fakulti Pendidikan di PTTI, selain pelajar dibimbing dalam merancang dan melaksanakan pemasaran, jerayawara, tugasan pentadbiran serta pelbagai jenis bengkel secara bersemuka dan dalam talian.

"Selain itu, melalui hubungan strategik itu juga akan diadakan penganjuran ceramah keusahawanan berkaitan bidang pendidikan dan penghantaran tenaga pengajar PTTI melanjutkan pengajian diperingkat pascasiswazah di UKM,” katanya semasa majlis menandatangani memorandum tersebut di Hotel Bangi Resort, Selangor, pada Rabu lalu.

UKM diwakili Norazah dan disaksikan oleh Dekan Fakulti Pendidikan, Profesor Dr Mohd Mahzan Awang manakala PTTI diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif PTTI Group Sdn Bhd, Siti Farhana Abu Osman dan disaksikan oleh Ketua Pegawai Operasi, Muhd Habibunajjar Sazali.

Sementara itu, menurut Siti Farhana, kerjasama kedua pihak bakal menjadi batu loncatan dalam memartabatkan lagi pendidikan negara.

"PTTI sangat berbangga dan berbesar hati dengan kerjasama bersama UKM sekali gus menjadi batu loncatan untuk mengangkat martabat pendidikan negara.

"MoU ini iuga membuka peluang dan menggali potensi kerjasama di antara IPTS dan IPTA dalam usaha menaik taraf bidang pendidikan negara dan membantu keboleh pasaran graduan,” ujarnya.

Dalam masa sama, Siti Farhana mengalu-alukan kerjasama dengan badan atau organisasi pendidikan negara lain.