Satu Malaysia gembira apabila mengetahui dua sekolah di negara ini tersenarai dalam kedudukan 10 teratas bagi Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2023 pada Pertandingan World Best School Prizes (WBSP).
Sekolah yang hebat itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permai, Bayan Baru, Pulau Pinang dan SK Kanchong Darat, Banting, Selangor. Dua sekolah itu tersenarai dalam dua kategori berbeza.
Bagi SK Seri Permai, mereka termasuk dalam senarai kategori Inovasi iaitu produk meja dan ruang simpanan buku dikenali Smart and Easy Table (SnET) 2.0 bertujuan mengatasi masalah beg berat ke sekolah.
SK Kanchong Darat pula terpilih dalam kategori Gaya Hidup Sihat dengan membawakan inovasi Program Minda Sihat, Warga Hebat bagi menggalakkan murid hadir ke sekolah, sekali gus menangani isu obesiti kanak-kanak.
Kejayaan dua sekolah berkenaan sudah cukup untuk menggambarkan bahawa Malaysia mampu melakar kejayaan setanding sekolah hebat di luar negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengakui kejayaan itu menunjukkan keupayaan berdaya cipta, mencari penyelesaian baharu secara kritis dan kreatif.
Beliau turut menggalakkan semua sekolah di negara ini melibatkan diri dalam pelbagai ruang dan platform serta mengambil peluang mencipta inovasi tersendiri yang bertaraf dunia.
"Pencapaian SK Seri Permai dan SK Kanchong Darat yang berjaya dengan acuan sendiri memang menjadi inspirasi ramai.
"Kerana itu, setiap sekolah perlu mengambil peluang sekiranya terdapat inovasi yang boleh diketengahkan dan menyertai pelbagai pertandingan bagi menunjukkan mereka juga mampu berjaya,” ujarnya yang mengumumkan peruntukan RM150,000 kepada SK Seri Permai sebagai galakan inspirasi kepada sekolah berkenaan.
Ketika penulis menghubungi Guru Besar SK Seri Permai, Mohammad Sabarullah Shaik Ismail selepas sekolahnya diumum menduduki 10 Sekolah Terbaik Dunia 2023, beliau masih lagi dalam keadaan terkejut dengan kejayaan tersebut.
"Saya seperti dalam mimpi sebenarnya. Memang tak sangka tiba-tiba boleh sampai ke peringkat dunia.
"Terkejut bercampur gembira dengan kejayaan ini. Jika nak diceritakan tentang cabaran, memang terlalu banyak, namun kekuatan, keyakinan dan keberanian yang ada dalam kalangan warga sekolah adalah penguat untuk kami lakar kecemerlangan seterusnya,” ujar beliau.
Sementara itu, penulis juga ingin berkongsi kejayaan lima saintis muda yang telah mewakili negara pada Mesyuarat Nobel Laureate ke-72 di Lindau, Jerman baru-baru ini.
Saintis muda tersebut iaitu Dr Liyana Azmi, 34, dari Universiti Sains Islam Malaysia; Dr Norhasmira Mohammad, 33, (Universiti Teknologi Mara Cawangan Selangor); Dr Wong Yin How, 35, (Taylors University); Dr Wong Sok Kuan, 34, (Universiti Kebangsaan Malaysia) dan Dr Afifah Mohamed, 33, merupakan antara 635 saintis muda yang terpilih dari seluruh dunia serta berpeluang berinteraksi secara langsung dengan sekurang-kurangnya 40 Pemenang Anugerah Nobel pada mesyuarat yang didedikasikan dalam bidang Fisiologi/Perubatan.
Mungkin ramai tertanya-tanya, hebat sangatkah mesyuarat tersebut sehingga banyak media tempatan melaporkan kejayaan mereka?
Mesyuarat Nobel Laureate adalah platform terbaik buat saintis muda yang juga peneraju sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) negara membina jaringan bersama saintis terbaik di peringkat antarabangsa.
Selain dapat bertemu Pemenang Anugerah Nobel daripada pelbagai disiplin sains, mesyuarat itu juga mendedahkan saintis muda kepada contoh teladan (role model) saintis sedia ada. Malah, ia turut memberi peluang saintis muda memperkenalkan penyelidikan masing-masing, sekali gus membuka peluang bekerjasama dengan saintis sedia ada di makmal bertaraf dunia.
Memang hebat Mesyuarat Nobel Laureate. Bukan calang-calang individu yang dapat ke Jerman, hanya saintis muda yang sesuai dan tepat sahaja dapat melayakkan diri ke sana.
Saintis-saintis muda inilah yang akan menjadi aset berharga bagi komuniti saintifik, sekali gus memastikan generasi baharu saintis dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan bagi menghadapi cabaran masa depan.
Kesimpulannnya, kita harus berbangga dengan pencapaian dan pengiktirafan yang dirangkul sekolah, saintis muda, guru dan juga pelajar.
Namun, jangan cepat alpa dan berpuas hati dengan kecemerlangan dimiliki. Teruslah berusaha tanpa henti demi memenuhi seberapa banyak impian yang belum tercapai.