Kehilangan minat terhadap subjek Sains dan Matematik bukanlah satu perkara baharu dalam kalangan pelajar di negara ini.
Rata-ratanya hilang minat kerana mata pelajaran itu terlalu sukar untuk dikuasai biarpun telah memberi tumpuan yang sepenuhnya di dalam kelas.
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali, penurunan minat pelajar dalam dua mata pelajaran itu sememangnya menjadi keutamaan dan perhatian di Kementerian Pendidikan (KPM)
"Kementerian sedar ada pihak yang mengaitkan penurunan minat tersebut disebabkan kurikulum kedua-dua subjek (Sains dan Matematik) begitu tinggi.
"Oleh itu, KPM dalam proses menambah baik kurikulum berkenaan bagi menangani masalah penurunan minat para pelajar.
"Bagaimanapun, semua ini masih dalam proses...tetapi yang penting kita ada modul untuk bantu guru bagaimana mengajar satu-satu subjek dengan baik, insya-ALLAH perkara tambah baik ini akan berterusan,” kata penerima darjah kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) ini.
Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan KPM menggunakan pendekatan baharu bagi mengatasi penurunan minat anak-anak dalam subjek Sains dan Matematik.
Anwar berkata, langkah itu penting selepas kajian KPM mendapati minat para pelajar dalam bidang tersebut mulai menurun.
Mengulas lanjut, Pkharuddin berkata, KPM juga sedang berusaha memupuk minat pelajar dalam bidang sains dan matematik dengan menyediakan pelbagai aktiviti dan pertandingan.
Beliau berkata, ia selepas mengambil kira ramai pelajar melahirkan minat dengan memasuki pertandingan kokurikulum dalam bidang sains dan matematik.
"Semasa saya menjadi Pengarah Pendidikan di Negeri Sembilan dahulu, kita menggalakkan sekolah rendah mewujudkan bilik sains untuk menarik minat mereka menyukai sains termasuk matematik sekali.
"Jadi konsep ini juga yang kita sedang rancang untuk laksanakannya di peringkat KPM,” tuturnya lagi.