Melanjutkan pengajian ke menara gading merupakan impian sebahagian pelajar selepas 11 tahun berada di alam persekolahan.
Peluang tersebut terbentang luas kepada mereka sebaik sahaja tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dalam konteks ini, mempunyai pendidikan yang tinggi penting kerana ia merupakan pemangkin kepada pembangunan sosial dan ekonomi sesebuah negara.
Ia mampu melahirkan ramai golongan profesional antaranya guru, pensyarah, arkitek, jurutera, doktor dan akauntan yang begitu kritikal dalam mengisi kemajuan negara.
Bagi sebuah negara membangun pula, mempunyai pendidikan yang tinggi merupakan peluang untuk merubah nasib atau status sosio-ekonomi keluarga pada masa hadapan ke arah yang lebih baik.
Namun, apa yang meresahkan kita mutakhir ini berkaitan kecenderungan pelajar lepasan SPM yang dilihat semakin kurang berminat untuk melanjutkan pendidikan di peringkat pengajian tinggi.
Senario ini berbeza pada satu masa dahulu di mana pelajar lepasan peperiksaan itu berlumba-lumba merebut tempat yang disediakan di institut pendidikan tinggi (IPT) yang terdapat di negara kita.
Pada Mei baru-baru ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di dalam jawapan bertulis beliau di Parlimen berkata, sejumlah 180,680 atau 48.74 peratus pelajar lepasan SPM sesi persekolahan 2021 tidak menyambung pengajian ke tahap yang lebih tinggi.
Jumlah ini meningkat dari tahun sebelumnya di mana seramai 115,939 atau 35.16 peratus lepasan SPM 2020 tidak berminat melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Kesan kepada negara
Melihat kepada angka terbaharu di mana hampir separuh pelajar lepasan SPM tidak berhasrat melanjutkan pelajaran amat menggusarkan kita.
Menurut Pengarah Strategik Forward Malaysia Research Centre, Muhammad Jazlie Jabarudin, potensi untuk kehilangan 70 peratus tenaga mahir andai trend lepasan SPM tidak menyambung pengajian pasti akan berlarutan jika tidak ditangani segera.
Selain itu, beliau turut meramal 15 atau 20 tahun akan datang negara kita mungkin terpaksa mengambil tenaga kerja dari luar bagi mengisi kekurangan tenaga profesional yang memerlukan kelayakan akademik yang diiktiraf seperti doktor, akauntan, pensyarah dan sebagainya.
Faktor penyumbang
Sebelum ini media pernah melaporkan terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi keputusan pelajar untuk tidak menyambung pengajian selepas SPM.
Salah satunya adalah kewangan keluarga yang menyebabkan sebahagian lepasan SPM memilih untuk terus bekerja bagi menyara keluarga masing-masing.
Umum mengetahui pandemik Covid-19 telah memberi kesan yang besar ke atas masyarakat termasuklah menyebabkan sebahagian ibu bapa kehilangan pekerjaan atau terjejas pendapatan.
Maka tidak hairanlah di era pasca pandemik ini di mana pemulihan dari segi ekonomi masih berlaku dan sebahagian anak muda melihat menjana pendapatan lebih utama daripada melanjutkan pengajian di peringkat tinggi.
Faktor lain yang mendorong pelajar untuk tidak menyambung pengajian disebabkan persekitaran yang memudahkan mereka menjana pendapatan.
Kecanggihan teknologi hari ini bukan sahaja membantu dari segi komunikasi dan penyampaian informasi malah kebanjiran platform media sosial seperti YouTube dan TikTok dapat dioptimumkan sebagai medan untuk meraih pendapatan melalui perkongsian kreativiti atau bakat.
Platform perniagaan digital yang semakin popular juga turut dimanfaatkan oleh generasi muda untuk menjana pendapatan.
Tinjauan pendapat dijalankan UCSI Poll Research Centre yang dikongsi hujung Mac lalu mendapati sebahagian lepasan SPM tidak berminat melanjutkan pengajian kerana mereka merasakan pendidikan tinggi tidak menjamin peluang pekerjaan yang lebih baik di samping yuran pengajian yang agak tinggi.
Media tempatan melaporkan yuran pengajian tinggi boleh mencecah sehingga RM78,000 di mana jumlah itu meliputi yuran pengajian dan kos lain seperti penginapan, belanja harian dan kelengkapan diri selama tempoh pengajian.
Bila pelajar terpaksa membuat pinjaman pelajaran namun ruang pekerjaan yang terhad selepas tamat pengajian dan gaji yang tidak setimpal dengan kelulusan di samping dihambat kos sara hidup semakin tinggi, maka tidak hairan kenapa lepasan SPM tidak lagi berminat menyambung pembelajaran.
Memasuki alam pekerjaan dalam ekonomi gig yang dipacu Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dilihat lebih menguntungkan kerana tidak perlu menanggung hutang pendidikan tinggi di samping ruang pekerjaan yang fleksibel dari segi masa dan tempat.
Sistem pembelajaran hibrid sebagai langkah rejuvenasi
Melihat kepada situasi semasa, penulis menyambut baik usaha ke arah sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal atau pembelajaran Hybrid Flexible (HyFlex) di universiti-universiti tempatan seperti diumum Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada awal Jun lepas.
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sebanyak 95 program ijazah sarjana muda daripada 19 universiti awam bersedia melaksanakan pembelajaran tersebut bermula dengan kemasukan sesi akademik bagi 2023/2024.
Menerusi HyFlex ini, pelajar hanya perlu menghadiri kuliah secara fizikal di universiti pada tahun pertama dan akhir sahaja.
Ini bermaksud pada tahun-tahun pertengahan pengajian, pelajar diberi pilihan dan keanjalan untuk mengikuti pengajian secara dalam talian.
Menurut Mohamed Khaled, pengenalan sistem pembelajaran secara HyFlex ini berupaya mengurangkan kos pendidikan dan jumlah pinjaman serta turut memberi ruang kepada pelajar untuk bekerja memandangkan mereka tidak perlu berada di kampus.
Penulis melihat inisiatif ini sebagai satu langkah merejuvenasi sistem pendidikan tinggi negara dalam mendepani realiti pendidikan ketika ini.
Model gabungan pembelajaran dalam talian dan fizikal ini berpotensi memberikan penyelesaian kepada trend pelajar lepasan SPM yang semakin cenderung untuk tidak melanjutkan pelajaran.
Apa yang lebih menarik, sistem pembelajaran hibrid ini bakal memperlihatkan satu situasi di mana teknologi akan dimanfaatkan sebaik mungkin dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
Pada hemat penulis, ini bertepatan dengan kehendak pelajar zaman ini yang rata-ratanya terdiri daripada Gen Z yang begitu sinonim dengan gajet dan teknologi.
Penyerapan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) seperti yang terdapat hari ini secara optimum di dalam proses PdP di peringkat pendidikan tinggi dapat membantu negara menyediakan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan berkualiti yang begitu kritikal dalam merealisasi agenda pembangunan negara.
Mendepani cabaran
Walaupun sistem pembelajaran hibrid mempunyai potensi yang besar, beberapa cabaran mesti ditangani dalam memastikan kejayaan pelaksanaannya.
Satu isu penting ialah jurang digital dalam kalangan pelajar terutamanya kumpulan B40.
Sebahagian pelajar ini mungkin menghadapi halangan dalam mengakses peranti digital dan sambungan internet yang stabil seterusnya menghadkan penyertaan mereka dalam aktiviti pembelajaran dalam talian.
Maka perlunya usaha untuk merapatkan jurang digital ini demi menyediakan peluang yang sama rata kepada semua pelajar.
Kesediaan fasiliti dan infrastruktur di universiti awam adalah satu lagi faktor kritikal.
Pelaburan dalam fasiliti dan infrastruktur harus diutamakan untuk menyediakan persekitaran yang kondusif bagi menyokong sistem pembelajaran hibrid.
Selain daripada itu, kesediaan pensyarah dengan persekitaraan pembelajaran baharu ini juga merupakan satu faktor penting dalam menjamin kejayaan.
Adalah penting bagi pendidik untuk mahir bukan sahaja dalam platform asas seperti Webex atau Google Meet tetapi juga dalam alat bantu pengajaran digital yang lebih interaktif seperti Padlet, Kahoot, Quizlet dan lain-lain.
Alat bantu pengajaran digital ini boleh membantu meningkatkan kualiti pembelajaran dalam talian menjadikannya berkesan seperti pembelajaran dalam bilik darjah.
Oleh itu, tenaga pengajar atau pensyarah harus didedahkan dengan program atau latihan yang komprehensif bagi memastikan mereka dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan yang cukup untuk melaksanakan kelas dengan lebih berkesan.
Kesimpulannya, kurangnya minat generasi muda untuk melanjutkan pengajian di peringkat tinggi tidak harus dipandang begitu sahaja kerana ia bakal menjejaskan masa depan negara yang kita cintai ini.
Pengenalan sistem pembelajaran Hyflex di peringkat pendidikan tinggi dilihat sebagai satu inisiatif yang mampu menarik minat pelajar menyambung pengajian ke peringkat tinggi dan pada masa sama ia harus dilihat sebagai salah satu langkah rejuvenasi pendidikan tinggi negara seiring dengan kemajuan ketemadunan manusia dan ICT yang terdapat pada hari ini.
Kecanggihan ICT harus dimanfaatkan sepenuhnya dalam bidang pendidikan terutamanya dalam proses PdP.
Disebalik keghairahan kita untuk melaksanakan sistem pembelajaran HyFlex ini terdapat beberapa cabaran yang harus diberi perhatian sewajarnya seperti akses peranti digital dan sambungan internet, fasiliti dan infrastruktur yang mendokong penggunaan ICT dan kesediaan pensyarah dengan persekitaran pembelajaran baharu.
Justeru, langkah awal perlu diambil seperti merapatkan jurang digital antara pelajar, pelaburan dalam fasiliti dan infrastrukur di kampus-kampus serta menyediakan latihan yang komprehensif kepada tenaga pengajar atau pensyarah berkaitan penggunaan ICT dalam proses PdP.
Saranan ini harus diberi penekanan yang sewajarnya dalam pelaksanaan sistem pembelajaran HyFlex agar kualiti pendidikan tinggi yang diberikan kepada generasi muda tidak terjejas.
Maklumat Penulis
Pensyarah Kanan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Amar Yasier Razli dan Dr Muhammad Harith Zahrullaili