Esok berlangsungnya pengundian pilihan raya negeri (PRN) bagi enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Ketika ini, semestinya orang ramai terutama guru dan golongan mahasiswa mengambil peluang membuat semakan tempat mengundi masing-masing.
Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRN adalah daftar pemilih terkini sehingga daftar pemilih tambahan bulan April tahun 2024 yang dikemaskini sehingga 21 Jun 2023.
Katanya, DPPR bagi PRN ini mengandungi seramai 9,773,571 orang pemilih yang terdiri daripada 9,674,456 pengundi biasa; 49,660 tentera dan pasangan; 47,728 polis dan pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) serta 1,727 pengundi tidak hadir luar negara.
Sambung beliau, PRN ini diadakan bagi mengisi kekosongan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah; 45 DUN Kelantan; 32 DUN Terengganu; 40 kerusi DUN Pulau Pinang; 56 DUN Selangor dan 36 DUN Negeri Sembilan.
Dalam kesibukan membuat semakan tempat mengundi, Sinar Bestari yakin masih ramai dalam kalangan guru, ibu bapa dan golongan mahasiswa tidak mengetahui lokasi mengundi mereka.
Sama ada tidak mengetahui cara menyemak atau terlalu sibuk dengan tuntutan kerja, hanya empunya diri sahaja yang mengetahuinya.
Sebagai membantu golongan berkaitan membuat semakan tempat mengundi di saat-saat akhir, kami kongsikan beberapa langkah penting untuk mengetahui tempat mengundi.
Langkah-langkahnya adalah;
1) Klik pautan https://mysprsemak.spr.gov.my/semakan/daftarPemilihPapar
2) Sila masukkan Nombor Kad Pengenalan (contoh: 98xxxxxxxxxx)/Nombor Perkhidmatan Tentera (contoh: Txxxxx)/Nombor Perkhidmatan Polis (contoh: RFxxxxx/RFSxxxxx/Gxxxxx) - (Tanpa"-" atau jarak).
3) Masukkan kod pengesahan CAPTCHA.
4) Klik kotak SEMAK
5) Kemudian, maklumat peribadi pemilih seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, tarikh lahir dan jantina akan dipaparkan.
6) Informasi berkaitan maklumat pengundian termasuk pusat mengundi, saluran, bilangan, masa mengundi, masa keluar mengundi yang digalakkan dan tarikh pengundian turut terpampang pada seksyen kedua.
7) Turut dipaparkan juga maklumat daftar pemilih yang telah disahkan iaitu lokaliti, daerah mengundi, Dewan Undangan Negeri, Parlimen dan negeri.
8) SPR menyarankan para pengundi mencatat nombor saluran dan nombor bilangan serta bawa ke Pusat Mengundi bagi memudahkan urusan pada hari pengundian.
Dengan perkongsian maklumat ini, diharapkan dapat membantu pemilih berusia 18 tahun dan ke atas untuk membuang undi.
Semoga bermanfaat!