Isu buli tidak pernah sunyi dibicarakan di negara ini terutama di peringkat sekolah.
Baru-baru ini tular di laman sosial Twitter tentang video seorang pelajar lelaki sebuah sekolah menengah dibelasah oleh rakan secara beramai-ramai.
Hantaran yang dimuat naik pengguna akaun bernama Ciraplaici tersebut memaparkan remaja berusia 15 tahun berkenaan dibelasah di sebuah taman permainan oleh beberapa orang pelajar berpakaian Kadet Polis.
Menurut Ciraplaici, remaja tersebut sebenarnya sudah lama dibuli oleh rakan-rakannya dan apa yang lebih menyedihkan dia baru sahaja sembuh daripada penyakit kanser yang dihidapi sebelum ini.
Kejadian berkenaan dipercayai melibatkan pelajar sebuah sekolah menengah di negeri Johor.
Video itu mendapat perhatian ribuan netizen laman sosial tersebut.
Seorang pengguna Twitter bernama SAZZ memohon pihak polis mengambil tindakan segera memandangkan kejadian tersebut sangat serius.
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) dimohon ambil tindakan segera kerana simpati dengan mangsa apatah lagi baru pulih daripada penyakit,” katanya.
Individu bernama Aboi menganggap tindakan sekumpulan pelajar memukul remaja tersebut disifatkan sebagai bacul kerana dilakukan secara beramai-ramai.
"Malulah jadi jantan tapi simpan telur, kalau berani, satu lawan satulah,” ujarnya.
Pemilik akaun The Unknown berharap semoga pelajar yang berpakaian Kadet Polis tersebut tidak akan diserap dalam unit beruniform itu selepas tamat persekolahan.
"Jangan jadi polis, risau banyak generasi polis bengap,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 4.09 petang Isnin daripada mangsa.
Ujar beliau, pergaduhan tersebut berlaku disebabkan berebut teman wanita dan mangsa mengalami kecederaan lebam di bahagian lengan kiri dan kanan, bengkak paha kanan serta mengalami sakit seluruh badan.