Guru perlu hormati privasi anak murid

Iklan
Guru digesa menghormati privasi anak murid dan tidak sewenang-sewenangnya merakam video mereka untuk kandungan media sosial persendirian. - Gambar hiasan

TIDAK dinafikan media sosial digunakan secara meluas dalam kehidupan hari ini. Bukan sahaja selebriti dan influencer, bahkan ia turut digunakan oleh golongan pendidik.

Buat pendidik, penggunaan aplikasi itu menjadi lebih rancak sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 bagi memudahkan urusan penyampaian ilmu kepada pelajar.

Iklan
Iklan

Namun, pelbagai respons dan kritikan diterima apabila ia menyentuh mengenai topik pendidik yang dilihat semakin aktif membuat content di media sosial seperti TikTok.

Ada segelintir pendidik yang gagal mengawal ‘keterujaan’ hingga menjadikan anak murid sebagai content demi mengejar populariti, selain untuk mendapat habuan peribadi.

Iklan

Rata-rata netizen berasakan ada kalangan pendidik ketika ini lebih cenderung mengabaikan etika profesion masing-masing apabila mereka dilihat lebih aktif di media sosial berbanding mengajar anak murid di sekolah.

Ada juga mendakwa mereka seolah-olah sudah lupa etika sebagai seorang guru dan menganggap tindakan guru seperti itu sangat tidak profesional, sekali gus membuatkan orang ramai memandang rendah kerjaya seorang pendidik.

Iklan

Jun lalu, seorang guru wanita yang popular di TikTok kerap menyiarkan perkongsian di laman sosial tersebut bersama anak muridnya di sebuah sekolah swasta.

Bagaimanapun, menerusi laman X, seorang ibu mempersoalkan tindakan guru berkenaan sama ada dibenarkan pihak sekolah.

Malah, wanita itu turut tag akaun rasmi Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek kerana salah satu video menunjukkan cikgu itu menyelongkar beg sekolah beberapa muridnya.

Hantaran itu telah menarik perhatian ramai netizen. Ada bersetuju dengan ibu tersebut dan mendakwa guru berkenaan melakukan perbuatan tidak beretika. Bahkan, mereka turut tertanya-tanya sama ada ibu bapa anak muridnya mengetahui content yang dikongsikan.

Pada masa sama, ramai juga menyokong guru wanita berkenaan dan mendakwa muridnya menyayangi guru tersebut.

Beberapa netizen percaya ia tidak wajar dijadikan isu atau diperbesarkan. Ada juga menyatakan disebabkan guru tersebut cantik, jadi tindakannya seolah-olah dapat restu.

Menyedari tindakannya menjadi bualan masyarakat, guru tersebut akhirnya tampil membuat per-mohonan maaf secara terbuka menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Instagram.

Baru-baru ini, tindakan seorang guru yang didakwa merekodkan gelagat murid di dalam bilik darjah turut mendapat kecaman hebat.

Berdasarkan video yang dimuat naik di X Malaysia Most Viral, guru berkenaan dipercayai membuat video kandungan mengenai kisah ‘cinta monyet’ anak didiknya di sebuah sekolah rendah.

Rata-rata warganet yang menonton video itu mengkritik tindakan guru tersebut yang dilihat tidak menghormati privasi kanak-kanak berkenaan dan menasihatkan pendidik lebih bertanggungjawab serta menjadi contoh baik kepada anak murid masing-masing.

Jika dihitung, banyak lagi content yang tidak sepatutnya dimuat naik di media sosial, sekali gus menimbulkan kegusaran dalam kalangan ibu bapa sehingga ada yang bertindak membuat laporan kepada pihak bertanggungjawab.

Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) juga dilaporkan menerima sekurang-kurangnya satu aduan sehari daripada ibu bapa mengenai anak mereka yang dijadikan kandungan peribadi media sosial guru.

Seorang pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad sebelum ini pernah menggesa guru menghormati privasi anak murid dan tidak sewenang-sewenangnya merakam video mereka untuk kandungan media sosial persendirian. Jelas beliau, tindakan merakam video semasa mengajar menyalahi etika perguruan.

Justeru, penulis sangat bersetuju apabila KPM mula bertegas dengan mengenakan tindakan terhadap guru yang menjadikan murid atau pelajar sebagai kandungan media sosial.

Kata menterinya, KPM tidak akan berkompromi sebarang isu pelanggaran garis panduan penglibatan murid di media sosial.

"Sekiranya garis panduan itu tidak dipatuhi dan ada aduan, tindakan boleh diambil,” tegas Fadhlina.

Jadi, cukup-cukuplah cemari profesion guru kerana tidak semua orang mampu menggalas peranan dan tugasnya yang mencabar.

Guru memainkan peranan sangat penting bagi melahirkan generasi berilmu, berjaya, bermoral dan mempunyai adab tinggi.

Ia sangat bersesuaian dengan peribahasa, guru ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi kehidupan orang lain.

*Azie Yahaya ialah Editor Pengisian Sinar Harian Online