Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menerima kunjungan hormat daripada rombongan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) di Putrajaya.
Sesi pertemuan tersebut bertujuan membina peluang kerjasama strategik antara syarikat tersebut bersama kementerian berkenaan dan institut pendidikan tinggi (IPT) di bawahnya.
Antaranya melibatkan penambahbaikan ekosistem pembangunan kapasiti di IPT khususnya dalam memperkasa kebolehpasaran graduan menerusi program persijilan profesional yang ditawarkan oleh SIRIM termasuklah pemantapan aktiviti penyelidikan dan pengkomersialan.
Menurut Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pihaknya memberi respons baik mengenai cadangan sepanjang pertemuan berkenaan.
"KPT menyambut baik cadangan yang telah diutarakan.
"Semoga pertemuan ini mengukuhkan lagi kerjasama sedia ada, menghasilkan manfaat dan mampu memangkin usaha KPT menjayakan proses ‘last mile’ dalam memartabatkan sektor pendidikan tinggi negara, insya-ALLAH,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran yang dimuatnaik di akaun Facebooknya pada Khamis.
Hadir sama dalam pertemuan itu Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Megat Sany Megat Ahmad Supian.
Turut serta Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Dr Mohd Zabri Yusoff dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr Azlinda Azman.
Pihak SIRIM pula diwakili oleh Presiden yang juga Ketua Pegawai Ekskeutif, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad dan Ahli Lembaga Pengarah syarikat berkenaan, Datuk Omar Shariff Mydeen.