KPM terus tekad perkasa Bahasa Melayu

Iklan


Kementerian Pendidikan (KPM) terus bertekad untuk mengangkat Bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan dalam pentadbiran nasional.

Berikutan itu, pelbagai program rasmi telah dilaksanakan antaranya Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan di seluruh negara yang merupakan satu langkah proaktif KPM dalam menjenamakan semula Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK).

Menerusi Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan itu, pelbagai kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan telah dilaksanakan khususnya melibatkan sektor pendidikan yang terdiri daripada KPM, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) bagi memperkasa dan memartabatkan bahasa kebangsaan.

Kemuncak Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan ditutup dengan Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan Tahun 2023 yang diadakan di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur pada Selasa.

Dalam majlis berkenaan, beberapa aktiviti telah diadakan merangkumi Bengkel Penulisan Dokumen Rasmi Kerajaan, Pertandingan Pengucapan Awam Peringkat KPM dan Forum Bahasa Melayu Sektor Pendidikan.

Turut termasuk Bengkel Pemerkasaan Tulisan Jawi peringkat KPM dan pelbagai aktiviti lain di peringkat bahagian dan agensi.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam ucapannya pada majlis itu menekankan mengenai kedudukan tinggi Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"KPM komited untuk terus menjunjung, mendaulatkan serta mengukuhkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam setiap aspek pentadbiran dan pengurusan.

"Adalah amat penting untuk setiap warganegara menanamkan rasa kecintaan terhadap bahasa kebangsaan," katanya pada majlis berkenaan.

Pada majlis itu, Fadhlina turut menyampaikan Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan Kategori Teknik Vokasional kepada Ketua Jabatan Teknologi Awam, Kolej Vokasional Slim River, Perak, Dr Siva Rabindarang.