Silibus spesifik berkaitan etika penggunaan tandas dan kepentingan menjaga kemudahan itu perlu dibangunkan secara bersepadu di sekolah.
Pakar Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Siti Aisyah Panatik berkata, silibus itu penting diperhalusi kerana setakat ini, mata pelajaran yang ada menyentuh tentang etika penggunaan tandas hanya pendidikan sivik, namun penjagaan tandas bukan menjadi tumpuan utama.
"Ia (etika) diberitahu secara umum. Ada sesetengah sekolah mempunyai etika penjagaan tandas yang ditampal di dinding-dinding tandas, namun, ia tidak memadai, ia perlu diajar secara khusus dan praktikal.
"Misalnya guru membawa pelajar melawat tandas pada awal masuk sekolah bagi meningkatkan keprihatinan dan sayang pada tandas yang bersih. Mulakan dari awal agar mereka terbiasa dengan penjagaan tandas yang bersih. Galakkan sikap tegur-menegur dalam kalangan pelajar untuk menjaga kebersihan. Jadi lama-kelamaan kebiasaan ini akan membentuk satu tabiat yang berterusan,” katanya.
Pada masa sama, beliau berharap, silibus yang dicadangkan juga menitikberatkan aspek keindahan tandas kerana ia sama penting dalam menjalankan advokasi mengenai kebersihan tandas, selain menyarankan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menganjurkan kempen tandas bersih di peringkat kebangsaan dan memberikan anugerah kepada sekolah yang mempunyai tandas paling bersih dan mempunyai persekitaran yang indah.
Tambahnya, penguatkuasaan peraturan sewajarnya dilaksanakan kepada mana-mana pihak yang melakukan vandalisme di sekolah.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Hayati Ismail berkata, kerajaan sudah menjalankan tanggungjawab untuk menyediakan prasarana yang baik dengan penyelenggaraan kecil tandas di sekolah-sekolah seluruh negara, maka tindakan seterusnya adalah memastikan kemudahan itu dipelihara sebaiknya.
Menurutnya, amalan membersihkan tandas bukan satu perkara baharu dalam dunia pendidikan kerana di madrasah dan sekolah pondok di Indonesia, murid membersihkan sendiri tandas mereka.
Sementara di Jepun, ulasnya, umum mengetahui bahawa aspek kebersihan adalah perkara pertama yang dipupuk di sekolah bagi menanam rasa tanggungjawab untuk memelihara persekitaran.
"Tidak ada salahnya anak-anak dididik untuk membersihkan tandas, kelas dan kawasan sekolah kerana inilah rumah kedua mereka.
"Selain itu, dana penjagaan fasiliti ini juga boleh dikongsi di antara pihak berkepentingan termasuk ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta bagi mewujudkan rasa kesepunyaan terhadap sekolah,” jelasnya. - BERNAMA