KPM proaktif atasi isu kekurangan guru

Iklan
Fadhlina

Guna strategi termasuk lantikan COS, PDPP, PISMP

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan isu kekurangan guru di semua jenis sekolah dapat diatasi.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya mengambil perhatian isu kekurangan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) serta dakwaan kesilapan data rasmi KPM seperti dilaporkan oleh media.

Iklan
Iklan

"Isu kekurangan guru adalah isu yang sedang berlaku di semua jenis sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan (SK), SJKC dan SJKT. Ia bersifat sementara.

"Keperluan guru baharu sekolah rendah direncana berdasarkan kepada kekosongan perjawatan mengikut opsyen dan guru masuk serta keluar daripada sistem mengikut opsyen keluaran latihan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, menurut Fadhlina, strategi bagi mengatasi isu itu dilakukan secara jangka pendek, sederhana dan panjang termasuk menerusi lantikan Contract of Service (COS), Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) serta PISMP.

"Pengambilan guru melalui PISMP dilakukan secara berterusan bagi mengisi kekosongan di semua jenis sekolah melibatkan semua opsyen mata pelajaran termasuk Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.

Iklan

"Isu ini telah dibincangkan dalam beberapa sesi libat urus hala tuju pendidikan bersama SJKC dan SJKT sepanjang tahun ini. KPM sentiasa prihatin mengenai perkara ini dan memastikan kebimbangan setiap pemegang taruh ditangani dengan wajar,” ujarnya.

Jelas beliau, KPM juga telah melaksanakan semakan daftar opsyen melalui proses penandaan opsyen (retagging) guru opsyen Bahasa Cina di semua sekolah.

Iklan

"Setiap proses berkenaan unjuran guru dilaksanakan dengan teliti bersandarkan kepada data yang telah disahkan dan menerusi sesi libat urus dengan pihak berkepentingan,” jelas Fadhlina.