Murid fasih digital melalui Dasar Pendidikan Digital

Iklan
Fadhlina (belakang, lima dari kanan) bergambar bersama para pelajar pada Majlis Peluncuran Dasar Pendidikan Digital di BACC, Selasa. Turut kelihatan, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying (lima dari kiri) dan Zainal Abas (dua dari kanan).

Dasar Pendidikan Digital (DPD) dilancarkan Kementerian Pendidikan (KPM) pada Selasa, menunjukkan komitmen KPM untuk mentransformasi pendidikan negara.

Iklan
Iklan

Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan KPM, Zainal Abas berkata, ia bagi melahirkan murid fasih digital yang berupaya menggunakan teknologi terkini secara bersepadu, kreatif, inovatif, bertanggungjawab dan beretika bagi menangani cabaran masa hadapan.

Beliau berkata, DPD adalah kesinambungan dasar dan inisiatif sedia ada KPM berkaitan peningkatan kualiti pendidikan yang mengupayakan penggunaan teknologi digital.

Iklan

Menurutnya, dasar ini memfokuskan pendidikan digital secara spesifik berdasarkan satu ekosistem menyeluruh, bersepadu dan menggariskan empat objektif, enam teras, 18 strategi serta 41 inisiatif yang menetapkan hala tuju bagi mencapai transformasi pendidikan digital.

DPD menyasarkan pemacuan perubahan landskap pendidikan digital untuk melahirkan generasi fasih digital berdaya saing menerusi peningkatan pengetahuan, kemahiran dan nilai murid, pendidik serta pemimpin pendidikan, penyediaan infrastruktur, infostruktur dan kandungan digital yang berkualiti serta mengoptimumkan penglibatan aktif rakan strategik sebagai pemangkin pendidikan digital.

Iklan

"Pandemik Covid-19 yang melanda dunia pada 2020, telah mempercepatkan penerimagunaan dan meningkatkan momentum serta komitmen bagi memperkasakan pendidikan digital negara.

"Oleh itu, DPD yang menyeluruh digubal bagi memenuhi keperluan dan cabaran masa hadapan," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran dasar itu yang disempurnakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC), pada Selasa.

Zainal berkata dalam ucapan pada majlis pelancaran DPD, Menteri Pendidikan menekankan kepentingan guru selaku peneraju dalam membentuk landskap pendidikan yang lebih baik untuk generasi akan datang.

"Guru yang mempunyai kompetensi digital dapat melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang menggunakan teknologi secara imersif untuk menjadikan PdP lebih menyeronokkan," katanya.

Fadhlina (dua dari kiri) mendengar permainan alat muzik menggunakan aplikasi Tablet pada Majlis Peluncuran Dasar Pendidikan Digital di BACC, Selasa. Hadir sama Zainal (kiri).

Beliau berkata, menyedari kepentingan pengetahuan digital untuk membuka pintu kepada pendidikan yang berkualiti, KPM telah melaksanakan pengesahan saringan tahap kompetensi digital dalam kalangan warga pendidik.

KPM mempunyai kira-kira 409,000 orang guru di seluruh negara dan pada masa ini, sebanyak 301,844 pendidik telah disaring dan dikategorikan mengikut tahap kompetensi digital iaitu 65,092 pendidik (22 peratus) berada pada Tahap Asas, 230,785 pendidik (76 peratus) pada Tahap Pertengahan, manakala 5,967 pendidik (dua peratus) pada Tahap Lanjutan.

Zainal berkata, pengesanan saringan tahap kompetensi digital pendidik masih berjalan dan dijangka selesai pada akhir Disember 2023.

Pastikan guru mahir teknologi

Sementara itu, beliau berkata, KPM juga bekerjasama dengan syarikat teknologi utama dunia seperti Google, Microsoft dan Apple bagi memastikan guru-guru mahir mengintegrasikan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan sehingga tahun 2022, sebanyak 40,478 guru telah menerima pensijilan peringkat antarabangsa melalui kerjasama ini.

"Dalam masa yang sama, KPM menaik taraf Pusat Kegiatan Guru (PKG) sebagai pusat kecemerlangan (Centre of Excellence-COE) digital dengan kelengkapan studio digital dan Digital Maker Hub (DMH) bagi menyokong pelaksanaan fungsi sumber dan teknologi pendidikan untuk meningkatkan kualiti pengajaran guru dan pembelajaran murid di sekolah.

"Selain menjadi pusat bimbingan latihan oleh guru Jauhari Digital kepada semua guru di sekitarnya, COE ini juga terbuka kepada semua guru yang berminat meneroka peluang baharu dalam pemerkasaan PdP yang memanfaatkan teknologi pendidikan," katanya.

Mengenai cabaran dalam mendapatkan peranti digital dan jaringan internet di kawasan pedalaman dan luar bandar seperti Sabah dan Sarawak, Zainal berkata, kesemua sekolah dilengkapi rangkaian jaringan internet dengan kelajuan 30Mbps hingga 300Mbps untuk sekolah-sekolah di bawah KPM.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 5,220 sekolah dan institusi pendidikan disediakan dengan talian gentian optik, 4,901 lokasi disediakan talian jalur lebar tanpa wayar 4G dan 505 lokasi disediakan dengan talian satelit.

"Kementerian sentiasa mengkaji dan melihat kepada penyelesaian teknologi yang terbaik bagi memastikan kawasan-kawasan yang sukar mendapatkan talian internet dapat disediakan perkhidmatan yang bersesuaian dan terbaik," katanya. - Bernama