Patriotisme generasi muda: PLKN pupuk nilai murni pelatih demi masa depan

Iklan
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dilancarkan pada 16 Februari 2004, antara usaha kerajaan melibatkan anak muda dalam aktiviti pembangunan diri dan negara.

PLKN menyediakan pengalaman unik melalui latihan ketenteraan, pembangunan kepimpinan dan penyertaan dalam projek masyarakat.

Ia juga mampu memupuk nilai-nilai patriotik kepada generasi muda ke arah cintakan Malaysia, sekali gus melahirkan golongan bertanggungjawab dan hebat dalam pelbagai bidang.

PLKN yang dikendalikan Kementerian Pertahanan (Mindef) menggunakan empat modul iaitu Fizikal, Kenegaraan, Pembinaan Karakter dan Khidmat Komuniti.

Dengan penekanan terhadap aspek-aspek yang diketengahkan dalam PLKN, ia dilihat berjaya mencorak para pelatih yang tidak hanya mempunyai kecekapan fizikal, tetapi juga nilai-nilai kepimpinan, ketahanan diri, disiplin, keyakinan, pemahaman kenegaraan dan kecenderungan untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Menerusi pembabitan di PLKN, negara mampu menghasilkan generasi muda yang lebih proaktif, patriotik dan bersedia menyumbang kepada kemajuan negara dalam semua bidang.