Baru-baru ini, Sinar Bestari melaporkan sebilangan kecil guru 'one-off' yang diberi penempatan ke Sarawak, tidak melaporkan diri atau menolak tawaran itu sehingga 30 September tahun lalu.
Data yang dikongsi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi jawapan lisan di laman sesawang Parlimen memaklumkan, mereka yang terlibat merangkumi guru lantikan tetap dan guru secara 'Contract of Services (CoS)' yang ditempatkan di Sarawak.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee, KPM perlu mengamalkan dasar ‘guru mengajar di negeri asal’ dalam usaha mengatasi masalah kekurangan tenaga pengajar.
Katanya, adalah penting KPM tidak memaksa guru dari negeri lain datang berkhidmat di Sarawak.
"KPM harus melaksanakan dasar ini untuk mengurangkan isu kekurangan guru.
"Malah terdapat ramai guru dari Sarawak yang kini berkhidmat di Semenanjung Malaysia dan berminat untuk kembali,” ujarnya dalam dialog bertajuk Dasar Pendidikan Sarawak Seiring Pembangunan yang disiarkan menerusi kaca televisyen pada Khamis.
Annuar diminta mengulas isu keengganan sesetengah guru dari Semenanjung Malaysia yang gagal melaporkan diri di sekolah yang ditempatkan.
Sementara itu, pada 23 Disember lalu, Sinar Bestari melaporkan berita gembira di mana seramai 1,108 guru baharu dalam kalangan siswazah universiti awam dan swasta bakal ditempatkan di Sarawak.
Ia membabitkan sejumlah 422 guru di sekolah rendah, manakala 686 baki lagi di sekolah menengah.
Berita ini semestinya membawa kegembiraan dan kelegaan dalam dunia pendidikan di Sarawak kerana sekurang-kurangnya jumlah berkenaan dapat mengatasi masalah kekurangan cikgu di negeri terbabit.