KV dan SMT lahir tenaga kerja mahir

Iklan
Kebolehpasaran graduan dalam kalangan KV dan SMT adalah melebihi 90 peratus. FOTO HIASAN.

Penubuhan Kolej Vokasional (KV) dan Sekolah Menengah Teknik (SMT) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjaya melahirkan tenaga kerja mahir dalam kalangan generasi muda.

Ia dibuktikan menerusi statistik dikeluarkan KPM di mana kebolehpasaran graduan dalam kalangan KV dan SMT adalah melebihi 90 peratus.

Iklan
Iklan

Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional, KPM, Ts Zulkernai Fauzi melahirkan rasa bangga terhadap kejayaan graduan tersebut yang kini sudah berjaya dalam bidang masing-masing.

"Inilah matlamat kita untuk mereka iaitu memastikan apa yang dipelajari di KV dan SMT dapat di bawa ke peringkat lebih tinggi sekali gus bekerja di bidang tersebut atau bergelar usahawan,” ujarnya dipetik menerusi sebuah program televisyen, baru-baru ini.

Iklan

Mengulas lanjut, Zulkernai berkata, KV dan SMT menyediakan pelbagai kursus yang sememangnya diperlukan oleh pemain industri.

"Misalnya di KV, sebanyak 10 bidang pengajian ditawarkan kepada para pelajar antaranya Teknologi Elektrik dan Elektronik, Hospitaliti, Teknologi Awam, Teknologi Mekanikal dan Pembuatan, Perniagaan, Seni Reka dan lain-lain.

Iklan

"Di kolej ini, mereka akan mengikuti bidang kemahiran sebanyak 70 peratus manakala 30 peratus lagi adalah bidang akademik.

"Aspek kemahiran 70 peratus bertujuan melahirkan tenaga mahir dan terlatih yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara,” ulasnya.

Sementara itu, Sinar Bestari memetik komen warga maya di beberapa laman sosial mengenai perkara tersebut.

Rata-ratanya berpendapat, KV dan SMT perlu menjadi rebutan ramai kerana banyak kebaikan yang diperoleh oleh para pelajarnya.

"Alhamdulillah, anak saya lepasan KV. Sekarang sudah bekerja di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," kata Ida Abu menerusi laman Facebook.

"Cuma nak cakap dulu orang pandang sebelah mata, sekarang berlumba-lumba industri ambil pelajar dari KV dan SMT untuk bekerja dengan mereka. Alhamdulillah," kata Kamaliah Awang di Facebook.

"Tumpang bangga! Tahniah kepada semua pelajar dan tenaga pengajar, pelajar tak mampu hebat tanpa guru yang hebat," ujar Mohamad di laman X.

"Syabas kepada cikgu yang berjaya ketengahkan bakat anak-anak didik mereka dalam kemahiran dan teknikal," kata Hasnol di laman X.