Seramai 395,870 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023 di 3,340 pusat peperiksaan seluruh negara.
Manakala seramai 129,635 orang petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan berkenaan, demikian kata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan media pada Isnin.
KPM dalam kenyataan tersebut turut mengingatkan semua calon SPM 2023 merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.
"Jadual waktu peperiksaan tersebut boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my.
"Calon diingatkan untuk membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan serta mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM Tahun 2023,” kata KPM.
SPM Tahun 2023 menyaksikan Ujian Bertutur Bahasa Melayu dilaksanakan bermula 8 hingga 11 Januari ini, manakala Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (17-23 Januari), Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (29 Januari) dan peperiksaan bertulis (30 Januari hingga 7 Mac 2024).
Sementara itu, KPM cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta semua petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana termasuk musim banjir sepanjang peperiksaan SPM 2023 berlangsung.
Malah mereka sentiasa siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain yang berkaitan.
"Semua calon dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana.
"Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN seluruh negara.
"KPM komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan SPM tahun ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur. KPM juga mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera,” tulisnya.