Hari ini merupakan hari kedua kita memasuki tahun 2024.
Pelbagai azam dan harapan baharu ditanam oleh seluruh rakyat Malaysia untuk dicapai oleh mereka pada tahun ini.
Begitu juga dengan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir yang mengharapkan Malaysia tidak terjerumus dalam kancah pertarungan yang boleh membawa kepada ‘menang jadi arang, kalah jadi abu’, (peribahasa Melayu yang merujuk kepada keputusan daripada sesuatu tindakan yang tidak menguntungkan sesiapa).
Untuk mengetahui dengan mendalam intipati harapan beliau, Sinar Bestari bawakan catatan ikhlas Menteri Pendidikan Tinggi mengenai Tahun Baharu 2024 yang dikongsi di Facebooknya pada Isnin.
*****
Pembunuhan tidak berperi kemanusiaan akibat krisis Palestin-Israel pada 7 Oktober 2023 yang masih berterusan tiada berpenghujung menutup tirai 2023 dengan penuh kesedihan dan kedukaan.
Peristiwa ini adalah pengajaran buat semua tentang dunia yang dihuni oleh mereka yang memiliki keangkuhan kuasa (arrogant of power).
Harapan saya untuk tahun 2024 ialah mengambil iktibar dari api perpecahan dan kebencian yang berlaku agar negara kita tidak terjerumus dalam kancah pertarungan yang membawa kepada ‘menang jadi arang, kalah jadi abu’.
Kesatuan negara adalah untuk semua anak bangsa dan kaum yang mendiami dalam Malaysia tidak kira apa jua latar belakang dan asal usul.
Kalau bicara tentang penyatuan, bicaralah sebagai seorang negarawan yang mahukan negaranya aman dan makmur, rakyatnya yang berbilang kaum dan agama, hidup dalam keharmonian dan saling menghormati serta berpegang teguh kepada keluhuran perlembagaan.
Faham esktrim dan chaunivis yang menghala terlalu kanan atau kiri akan membawa petaka buat negara.
Intelektual terorisme (intellectual terrorism)yang mematikan pandangan orang lain dan membunuh karakter (character assassination) atas nama kaum, agama dan fitnah tidak akan menghapuskan api persengketaan.
Negara perlukan kestabilan bagi membolehkan kembali ke landasan pembangunan dan merangka masa depan.
Perkara yang sudah disepakati dalam perlembagaan akan tetap menjadi landasan kehidupan bernegara.
Kerajaan yang dibina ini bukan atas nama permainan ‘game of thrones’.
Ini adalah Kerajaan Madani hasil dari kesedaran dan kesepakatan untuk membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan bagi menyelamatkan negara selepas PRU 15.
Hentikan politik perbalahan, semaikan pemikiran kematangan. Tidak ada mana-mana tilikan dan mimpi sang kiyai yang akan menjadi kenyataan selagi kuasa rakyat mahukan kestabilan kepada sebuah kerajaan.
Yang diberi amanah dan peranan, terus bekerja penuhi segala pertanggungjawaban.
Kepada rakyat, rakan dan teman, teruskan sokongan dan tegurlah mana yang kealpaan.
Kita bina semula negara untuk masa kini dan cabaran masa depan.
Hiduplah dalam damai meskipun ada perbezaan. 2023 telah membentuk kenangan dan pengalaman. Semoga 2024 akan menyemai impian, penuhi harapan, mencipta lebih banyak kejayaan dan yang paling utama mengekalkan perpaduan.
Kerajaan Perpaduan atas taklif di jemala Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin hanya terlaksana dengan barisan pelaksana yang baik dan tersusun serta rakyat yang bersuara atas semangat berpesan-pesan untuk kebaikan dan kesabaran sepertimana firman ALLAH SWT dalam Surah Al-Asr:"Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar”.
Selamat Menyambut Tahun Baharu 2024.
Didoakan Malaysia Madani yang makmur, aman, stabil, rakyat bersatu, berkasih sayang dan hormat menghormati.