UMP hasilkan aplikasi ObeM, pantau pesakit obesiti

Iklan
ump4
PEKAN - Kajian menunjukkan bahawa berat badan yang berlebihan merupakan masalah kesihatan yang serius bagi kebanyakan orang malah ia meningkatkan risiko penyakit yang serius seperti penyakit jantung, angin ahmar, diabetes, kanser dan darah tinggi.Bagi membantu individu yang mempunyai masalah obesiti, kebanyakan klinik dan hospital menyediakan klinik obesiti untuk memberikan perkhidmatan runding cara dan khidmat nasihat dalam menguruskan badan secara semula jadi dengan cara mengamalkan pemakanan yang sihat serta senaman yang sesuai.Kesedaran dalam kalangan masyarakat, menjaga berat badan mula dilihat melalui peningkatan individu yang merujuk ke klinik obesiti sama ada kanak-kanak atau dewasa.Peningkatan pesakit yang merujuk ke klinik obesiti pastinya menyukarkan kaedah pemantauan terhadap semua individu tersebut.Permasalahan tersebut telah mendorong sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk menghasilkan sistem yang dapat memantau pesakit secara optimum menerusi aplikasi Obesity Monitoring System and Application (ObeM).Ketua penyelidik merangkap Pensyarah Fakulti Komputeran (FK) UMP, Syifak Izhar Hisyam berkata, ObeM mempunyai dua platform yang digunakan untuk memantau pesakit obesiti iaitu menerusi sistem web yang akan digunakan oleh klinik obesiti manakala pesakit pula akan menggunakan aplikasi telefon."Sistem ObeM ini dapat memudahkan klinik untuk memantau lebih ramai pesakit secara optimum dan pada masa yang sama tempoh pemantauan dapat dilakukan dengan lebih kerap."Digital intervention ialah konsep yang cuba diamalkan untuk memastikan kualiti dan kuantiti pemantauan pesakit obesiti dapat dicapai."Penyelidikan ini telah bermula pada awal tahun 2020 bersama pelajar tahun akhir FK, Anis Saharudin di bawah seliaan saya iaitu membabitkan sistem pemantauan di platform web," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.Jelasnya lagi, fasa yang kedua telah diteruskan oleh pelajar, Dinesh Dayanan dengan menambah baik penyelidikan yang menghubungkan aplikasi mudah alih untuk digunakan oleh pesakit obesiti."Penyelidikan ini telah selesai dan dalam proses ujian serta penilaian," ujarnya.Berkongsi mengenai bagaimana tercetus idea untuk inovasi berkenaan, Syifak Izhar berkata, ia bermula apabila seorang sahabatnya yang merupakan penyelidik bersama dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan, berkongsi masalah yang terdapat di IIUM Medical Centre."Pada masa itu, klinik obesiti hanya dapat beroperasi dua kali sebulan dan pada masa yang sama mereka tidak dapat menampung keperluan untuk memberikan perkhidmatan kepada pesakit obesiti yang semakin ramai," kongsinya.Tambahnya lagi, bilangan klinik obesiti juga tidak banyak di Malaysia berbanding klinik diet yang ada di kebanyakan klinik kesihatan kerajaan."Setelah melalui fasa sumbang saran dan perbincangan bersama pakar bidang, kami bersetuju bahawa pemantauan dengan konsep digital intervention boleh dicadangkan untuk menyelesaikan masalah ini."Saya berharap hasil kajian ini dapat membantu pesakit untuk sentiasa dipantau secara rapat dalam masa yang sama dapat berkomunikasi dengan staf klinik secara terus."Platform ini juga dapat menjimatkan kos dan masa pesakit berulang alik ke klinik obesiti yang mungkin jauh dari rumah kerana mereka hanya perlu dipantau secara dalam talian untuk pemantauan biasa," jelasnya.Menurut anak jati Ipoh, Perak ini lagi, buat masa ini, sistem dan aplikasi berkenaan dibina dengan tujuan khusus untuk pesakit obesiti dewasa."Setelah melalui fasa ujian dan penilaian, pakar bidang dari klinik obesiti merasakan aplikasi ini juga perlu dibuat untuk kanak-kanak penghidap obesiti kerana bilangan mereka juga sudah semakin ramai," tuturnya.Turut sama dalam kumpulan penyelidikan ini ialah pelajar FK dan dua orang pakar bidang diet iaitu Nurlisa Fatihah Abd Rani dari Kulliyyah of Allied Science dan Dr Siti Zuhaidah Shahadan dari Kulliyyah of Nursing, UIAM Kuantan, Pahang.Penyelidikan ini telah memenangi pingat emas semasa pameran dan pertandingan Reka Cipta, Kreatif dan Inovasi 2021 (CITREx) serta Pameran dan Pertandingan Inovasi & Reka Cipta peringkat antarabangsa (ITEX) malah berjaya meraih hak reka cipta bagi aplikasi tersebut.