Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijadualkan tamat penghujung bulan ini. Selepas itu para pelajar ini akan menunggu keputusan yang dijangka dikeluarkan dalam tempoh tiga bulan.
Dalam tempoh tersebut pastinya pelajar-pelajar ini tiada sebarang aktiviti hendak dilakukan memandangkan negara masih lagi belum pulih sepenuhnya daripada pandemik Covid-19.
Justeru itu, kepada mereka yang bercita-cita atau ingin melanjutkan pelajaran ke China dengan tajaan biasiswa sepenuhnya boleh mendaftar untuk menduduki Peperiksaan Hanyu Shuiping Kaoshi (HSK).
Menurut Presiden, Pusat Kebudayaan Han Malaysia, Datuk Goh Hin San, HSK merupakan peperiksaan yang dianjurkan khas kepada pelajar bumiputera dan rakyat Malaysia amnya dengan bahasa ibundanya bukan bahasa Cina.
[caption id="attachment_36913" width="300"] Goh Hin San[/caption]
Tambah beliau, dengan HSK, ia membolehkan mereka meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) yang termasyhur di China.
"Semua pelajar lepasan SPM atau sesiapa yang berminat untuk melanjutkan pelajaran ke China dialu-alukan untuk mendaftar dan menduduki peperiksaan tersebut dan kali ini kami, Pusat Kebudayaan Han Malaysia dengan kerjasama Yayasan DayaDiri (YDD) menawarkan 200 tempat untuk pelajar-pelajar termasuk dari sekolah aliran agama dan juga sekolah antarabangsa.
"Peperiksaan ini dianjurkan oleh Pusat Kebudayaan Han Malaysia dan ditaja oleh YDD dan pelajar yang diterima melanjutkan pelajaran berpeluang menerima biasiswa pengajian selama empat tahun,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Kota Damansara, baru-baru ini.
Tambah Hin San, Pusat Kebudayaan Han Malaysia merupakan wakil bertauliah yang dilantik untuk mengendalikan ujian ini di Malaysia sejak tahun 2018.
Mengulas lanjut mengenai peperiksaan tersebut, tutur beliau, HSK terdiri daripada enam tahap, tahap satu dan dua merupakan tahap asas manakala tahap tiga adalah tahap pengantara yang memerlukan penguasaan karakter Mandarin, tahap empat hingga enam pula merupakan tahap tinggi.
Kepada pelajar dan sesiapa sahaja yang berminat untuk mendaftar atau mengetahui maklumat lanjut, sila layari https://www.hsk-ibt.com.my/ydd-hsk-sponsorship/ atau hubungi talian 03-61516684.