Cikgu Han Jian bangga jadi guru, anggap profesion perguruan kerjaya mulia

Iklan
goh3

Cita-cita untuk bergelar seorang pendidik sudah mula berputik dalam diri Cikgu Goh Han Jian, 39, sejak dari kecil lagi kerana sering teruja melihat guru-guru di sekolahnya membawa buku rekod mengajar.

Iklan
Iklan

Bertitik tolak dari situ, guru Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK) (C) Pu Sze, Skudai, Johor, itu mula menanam hasrat untuk merealisasikan impiannya menjadi seorang pendidik suatu hari nanti.

Iklan

Selepas menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia dengan Kepujian di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah pada 2006, beliau memilih untuk mengikuti Diploma Pendidikan (Kursus Perguruan Lepasan Ijazah) di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur pada 2009.

Iklan

Berkongsi mengenai detik awal permulaan kerjayanya sebagai guru cemerlang Bahasa Melayu, Cikgu Han Jian berkata, subjek itu menjadi salah satu daripada opsyen ikhtisasnya semasa dalam tempoh latihan perguruan praperkhidmatan sebagai seorang guru ketika di IPG.

"Saya mula mengajar subjek tersebut sejak penempatan pertama sebagai guru siswazah terlatih pada 4 Januari 2010 dan mula mendapat gelaran Guru Cemerlang Bahasa Melayu sejak 24 Mac 2017 setelah melalui proses permohonan guru cemerlang secara 'fast-track' pada 2016.

"Saya akan sentiasa berusaha untuk menarik minat murid-murid Cina di SJKC dalam meningkatkan kemahiran berbahasa Melayu sekali gus meminati subjek ini,” katanya kepada Sinar Bestari baru-baru ini.

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang

Mempunyai pengalaman sebagai pendidik sejak 13 tahun lalu, guru yang berasal dari Kelantan itu turut cemerlang dalam perkhidmatannya apabila pernah mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada 2014 dan 2021 serta Pemangkuan Guru Cemerlang BM pada 2017.

Selain itu, Cikgu Han Jian juga aktif berkongsi ilmu dan kepakaran sebagai penceramah bagi mata pelajaran Bahasa Melayu untuk murid-murid meningkatkan penguasaan mereka terhadap subjek berkenaan.

Berkongsi mengenai cabaran yang dihadapi sepanjang bergelar guru, bapa kepada empat orang anak itu berkata, setiap pekerjaan mempunyai halangan dan rintangan tersendiri, terpulang kepada individu itu untuk menanganinya.

"Memandangkan saya ditempatkan di sekolah yang serba lengkap dengan kemudahan dan infrastruktur sekali gus menyebabkan tiada cabaran besar yang perlu ditangani dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai seorang guru.

Cabaran sebagai guru

"Walaupun tiada cabaran besar, saya sentiasa menganggap pekerjaan seorang guru ini sebagai kerjaya yang mulia kerana kita memainkan peranan mendidik anak bangsa agar menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

"Itulah pegangan saya sebagai seorang guru yang tidak jemu dalam menyampaikan pengajaran yang sempurna kepada anak-anak didik saya,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai perbezaan menjadi guru pada hari ini berbanding zaman dulu, Cikgu Han Jian berpendapat sejak pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia, telah berlaku perubahan yang besar kepada cara pengajaran guru di mana pengajaran berasaskan teknologi telah menjadi keutamaan.

"Banyak perkara baharu yang dipelajari sepanjang tempoh tersebut. Pelbagai pendedahan terkini mengenai pengajaran dan pembelajaran (PdP) melalui platform dalam talian diperkenalkan dan diaplikasikan secara optimum dalam memastikan pembelajaran murid-murid tidak ketinggalan.

"Oleh itu, saya berharap agar bakal-bakal guru dapat menjadi seorang pendidik yang terbaik dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan potensi diri.

"Anggaplah segala cabaran yang dihadapi sebagai pemangkin kepada kejayaan yang akan kita kecapi satu hari nanti. Bersama-samalah kita memartabatkan profesion yang kita cintai ini,” kongsinya mengakhiri perbualan.

Biodata

Nama penuh: Goh Han Jian

Tarikh lahir: 8 Disember 1983

Tempat lahir: Kelantan

Status: Berkahwin

Nama sekolah: SJKC Pu Sze, Skudai, Johor

Subjek yang diajar: Bahasa Melayu dan Pendidikan Jasmani

Pendidikan:

Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia dengan Kepujian, UUM

Diploma Pendidikan (Kursus Perguruan Lepas Ijazah), IPG Kampus Ilmu Khas, Cheras

Sarjana Pendidikan (Pengurusan & Pentadbiran), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai

Pencapaian:

Anugerah Pelajar Terbaik Akademik (KPLI Ambilan 2009)

Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan (KPLI Ambilan 2009)

APC 2014

Academic Excellent Award (Sarjana) 2016

Pemangkuan Guru Cemerlang BM pada 24 Mac 2017

APC 2021