Kasut merupakan elemen penting dalam melakukan aktiviti seharian.
Begitu juga dengan guru-guru. Kasut yang sesuai akan memudahkan mereka menjalani pelbagai urusan di sekolah terutamanya ketika proses pengajaran dan pembelajaran.
Ketika pemakaian aksesori utama itu, adakah cikgu-cikgu tahu teknik menjaga kasut bagi mengelakkan mudah rosak, lusuh dan koyak?
Di sini, Sinar Bestari kongsikan tiga teknik mudah untuk warga pendidik praktikkan agar kasut yang dipakai tahan lama dan tidak mudah rosak.
1) Basuh atau lap seminggu sekali
Kebanyakan orang akan membiarkan kasut yang kotor sehingga kering, lagi-lagi selepas kena hujan. Jangan selalu buat begitu! Sebabnya tindakan ini sebenarnya menyukarkan kita untuk membersihkan kasut tersebut.
Walaupun anda telah menyembur cecair kalis air atau sneaker yang materialnya kulit, bahagian tali dan jahitan kasut tetap boleh menyerap air dan kotoran.
Ini boleh menyebabkan kasut kesayangan itu berubah warna. Jadi, cikgu dinasihatkan untuk basuh atau lap kasut tersebut sekurang-kurangnya seminggu sekali menggunakan tisu basah ataupun kain lembab.
2) Gunakan semburan kalis air
Semburan kalis air sangat berguna jika cikgu-cikgu keluar atau ke tempat kerja seperti sekolah. Lagi-lagi jika menaiki motorsikal dan material kasut adalah kain. Material seperti suede atau nubuck memang mudah untuk menyerap air dan kotoran.
Jadi, adalah tindakan yang bijak sekiranya guru-guru menyembur kasut dengan semburan kalis air. Sekurang-kurangnya tidak cepat kotor.
Untuk hasil yang lebih memuaskan, sembur dan tinggalkan semalaman supaya ia betul-betul kering. Ulangi langkah ini dua hingga tiga lapisan.
3) Simpan kasut dalam kotak
Mesti ramai yang tersilap langkah bukan? Kotak kasut tersebut jangan dibuang, sebaliknya boleh digunakan untuk menyimpan kasut.
Jika guru-guru tinggalkan kasut di rak, ia hanya mengumpul debu dalam setiap kedutan dan rekahan kasut. Melainkan anda rajin untuk lap semua kasut setiap hari.
Kotoran yang melekat pada rekahan dan kedutan kasut ini sebenarnya mempercepatkan kasut rosak.
Cara terbaik, simpan dalam kotak dan pastikan ia bertutup dengan betul. Tapi, sebelum simpan, pastikan kasut berkenaan sentiasa dalam keadaan kering.
Artikel berkaitan
Gadis Cina fasih berbahasa Melayu, Mek Yun UTHM raih 2 anugerah
Inspirasi ramai! Pelajar 10A+ SPM kongsi rahsia kejayaan untuk calon peperiksaan tahun ini