Perbadanan Tabung pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menetapkan sasaran sebanyak RM1.8 bilion kutipan deposit Skim Simpanan pendidikan Nasional (SSPN) tahun ini.
Pengerusi PTPTN Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sasaran itu berdasarkan kepada prestasi kutipan SSPN sepanjang tiga tahun berturut-turut sejak 2018.
"Pencapaian positif SSPN itu dipacu dengan pelbagai langkah proaktif dari aspek pengoperasian, pelaburan, pemasaran dan komunikasi strategik yang telah dirancang dan akan dilaksanakan sepanjang tahun 2021 ini.
SSPN bukan sekadar simpanan biasa, malah kita menawarkan pelbagai keistimewaan termasuk pelepasan taksiran cukai hingga RM8,000 setahun, pemberian dividen yang kompetitif serta perlindungan takaful dan khairat kematian yang akan membantu anak-anak meneruskan pengajian sekiranya ibu bapa ditimpa musibah,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Ganjaran Kesetiaan SSPN-i 2021 yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi PTPTN hari semalam yang turut dihadiri Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Sementara itu, Wan Saiful berkata program Ganjaran Kesetiaan SSPN-i adalah penghargaan kepada pendeposit yang membuat simpanan dalam tempoh masa panjang menerusi tabung pendidikan berkenaan.
Beliau berkata ganjaran pada kadar satu peratus akan diberikan kepada pendeposit SSPN-i yang membuat simpanan terkumpul dengan jumlah minimum RM500.
"Tahun ini adalah tahun ketiga Ganjaran Kesetiaan diberikan kepada pendeposit setia SSPN-i dan tempoh promosi ini bermula 24 Feb hingga 30 April 2021.
"Pendeposit yang layak menyertainya adalah mereka yang membuka akaun SSPN-i sebelum tahun 2018 dan kita berharap mereka akan merebut peluang ini,’’ katanya.
Wan Saiful turut berterima kasih kepada Kementerian Pengajian TInggi (KPT) dan Kementerian Kewangan yang meluluskan pemberian dividen sebanyak empat peratus kepada pendeposit SSPN.
Katanya, walaupun negara berdepan persekitaran ekonomi sukar akibat pandemik COVID-19, PTPTN masih mencapai jumlah simpanan tertinggi tahun lepas iaitu sebanyak RM1.99 bilion.
"Dividen SSPN bagi tahun 2020 telah diumumkan KPT semalam yang mana sudah tentu ini adalah berita gembira buat semua pendeposit SSPN, pendeposit boleh membuat semakan dividen itu di penyata SSPN masing-masing atau portal rasmi www.ptptn.gov.my mulai 26 Feb (Jumaat),” katanya.
- BERNAMA