Bagi merasai kehidupan sebagai mahasiswa, seramai 122 warga Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Langat, Banting, Selangor, telah diberi peluang menyertai lawatan sambil belajar ke Universiti Malaya (UM).
Program bertemakan ‘Sehari sebagai Mahasiswa Universiti Malaya’ yang diadakan baru-baru ini membabitkan penyertaan daripada pentadbir, guru dan murid Tahun Enam.
Guru Besar SK Sri Langat, Ruslan Lebai Yakub berkata, dengan adanya program itu diharapkan pelajar akan lebih bersemangat untuk belajar bersungguh-sungguh seterusnya melanjutkan pengajian hingga ke peringkat universiti.
"Saya berharap murid-murid yang menyertai program ini akan membina impian untuk melanjutkan pengajian sehingga ke menara gading.
"Impian hanya akan tercapai dengan adanya kerja keras, perancangan yang teliti dan baik, oleh itu, sentiasalah tanamkan azam untuk mencapai impian semua,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan sebaik tiba di UM.
Sebelum itu, delegasi disambut Dekan Fakulti Seni Kreatif, Profesor Dr Hanafi Hussin dan Pengarah Pejabat Komunikasi Korporat, Profesor Madya Dr Nahrizul Adib Kadri.
Mereka turut diberi peluang masuk ke Dewan Tunku Canselor dan beramah mesra dengan Naib Canselor, Profesor Ir Dr Hamdi Abd Shukor.
Pada sebelah petang pula, delegasi dibawa melawat Fakulti Kejuruteraan dan Fakuti Seni Kreatif bagi merasai suasana sebenar kampus dan kehidupan sebagai mahasiswa.
Program julung kali diadakan selepas dua tahun akibat Covid-19 itu dirancang Penyelaras Program, Norizan Mat Jusoh dan Ismail Sanip dengan kerjasama Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), Profesor Madya Dr Rosmadi Fauzi yang juga pensyarah Fakuti Sastera dan Sains Sosial UM serta sokongan daripada Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Langat.
Mengulas lanjut, Ruslan memberitahu, pihaknya juga merancang untuk melaksanakan beberapa program dengan kerjasama UM demi manfaat warga sekolah.
"Pihak sekolah juga merancang dan merangka beberapa program dengan kerjasama UM membabitkan pelbagai aktiviti akademik, kebudayaan dan kesenian.
"Melalui program sebegini kami berharap akan dapat meningkatkan kualiti murid bukan saja dalam akademik tetapi juga penerapan kepada aspek kemahiran,” ujarnya.
Sementara itu, Dr Rosmadi yang mewakili delegasi dan juga pengurusan UM merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terbabit dalam menjayakan program berkenaan.
Menurutnya, semoga dengan inisiatif itu akan dapat menyuntik semangat murid untuk belajar di UM pada masa akan datang.
"Diharapkan dengan cetusan program seperti ini akan menjadi titik permulaan buat anak-anak belajar bersungguh-sungguh demi mencapai cita-cita belajar hingga ke menara gading dan menjadikan UM sebagai penanda aras yang terbaik.
"Saya juga berharap semoga lawatan ini dan kerjasama yang bakal terjalin nanti akan memberi manfaat kepada semua,” ujarnya lagi.
Artikel berkaitan
Pembelajaran dalam talian dapat kurangkan beban kewangan pelajar
Berkampung selama 2 bulan, 20 pelajar AS timba ilmu fotografi, selami kulinari tradisi Sabah
Enggan kecewa sekali lagi, Izz Khalisa bangkit dan akhirnya muncul pelajar cemerlang SPM 2021