Program Sangkutan Industri dalam kalangan pensyarah di institusi pengajian tinggi (IPT) dikenal pasti sebagai satu kaedah pembangunan profesional yang berkesan terutama bagi bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Ini kerana, melalui Sangkutan Industri, pensyarah dapat menjalani latihan praktikal sebenar di lapangan, selain meningkatkan pengetahuan mereka dari segi cara kerja dan teknologi terkini yang diguna pakai dalam industri.
Baru-baru ini, Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Dr Noridah Mohamad telah mengikuti program Sangkutan Industri dan menimba pelbagai pengalaman berharga menerusi program tersebut.
Katanya, program Sangkutan Industri cukup menarik dan beliau bersedia untuk berkongsi dengan masyarakat berkenaan program tersebut.
"Selain bercerita tentang pengalaman sendiri, saya juga ingin fokuskan kepada Sangkutan Industri dalam kalangan pensyarah IPT dalam bidang kejuruteraan awam. Semoga ia memberi manfaat,” ujarnya.
Jom ikuti perkongsian ilmiah Noridah seperti yang dikongsi kepada Sinar Bestari, baru-baru ini.
*****
Tugas seorang pensyarah bukan hanya menyampaikan kuliah, sebaliknya mereka juga perlu sentiasa melakukan penambahbaikan kursus dan silibus yang melibatkan pembangunan; penyemakan dan penilaian semula kursus serta modul yang ditawarkan dalam sesuatu program pengajian.
Ini kerana, dalam bidang kejuruteraan dan juga bidang-bidang lain, teknologi yang digunakan sentiasa mengalami perubahan mengikut perkembangan dan permintaan industri.
Oleh itu, pensyarah perlu sentiasa mencari peluang untuk memperkasakan diri dari segi pengetahuan, selari dengan keperluan industri.
Sebagai IPT yang melahirkan graduan jurutera, para pensyarahnya perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan yang luas dan terkini dari segi teori, amali, cara kerja dan juga aplikasi teknologi bagi melahirkan graduan yang memenuhi kehendak industri.
Memandangkan cara kerja dan aplikasi teknologi dalam industri yang sentiasa mengalami perubahan dari semasa ke semasa, maka IPT sebagai penyedia modal insan sentiasa perlu berkerjasama rapat dengan pemain industri agar modal insan yang dilatih memenuhi keperluan semasa industri.
Semasa menjalani Sangkutan Industri, pensyarah mengambil masa selama setahun untuk keluar ke industri, sama ada di sektor awam atau swasta, bertujuan untuk memperolehi ilmu pengetahuan dan kemahiran praktikal.
Antara kebaikan Sangkutan Industri yang boleh diperolehi oleh IPT, pensyarah dan pelajar serta graduan adalah
1) Memberi pengalaman kerja lapangan kepada pensyarah. Pensyarah dapat berkongsi dengan pelajar tentang pengalaman, cara kerja dan teknologi terkini dalam industri pembinaan, seterusnya meningkatkan kualiti penyampaian kuliah dalam program-program yang ditawarkan.
2) Dapat mengenal pasti cara kerja termasuk penggunaan perisian dalam pengurusan pembinaan; penyebaran informasi secara digital dan juga aspek kesihatan serta keselamatan pekerja di tapak pembinaan.
3) Dapat mengenal pasti teknologi terkini seperti penggunaan IBS dalam industri pembinaan dan penggunaan Microsoft Project sertaCritical Path Method dalam pengurusan pembinaan.
Dengan pengetahuan tentang teknologi terkini yang diaplikasikan dalam industri, pelajar boleh disiap sediakan dengan kursus-kursus yang mempunyai nilai tambah dalam bidang-bidang berkenaan. Ini bertujuan supaya pelajar dapat melengkapkan diri mereka dengan kemahiran tertentu sebagai persediaan memulakan kerja selepas bergraduasi.
4) Secara tidak langsung, ini juga berupaya menaikkan peratus graduate employability dalam kalangan graduan.
5) Pensyarah juga boleh memberi input dan berbincang dengan kumpulan penyelidik di IPT bagi menjalankan kajian dalam bidang-bidang tertentu.
Sebagai contoh, pensyarah boleh mengemukakan tajuk kajian bagi meyelesaikan masalah kekurangan peratus penggunaan IBS dalam projek-projek swasta di negara ini.
Dari pemerhatian penulis, pemain industri masih tidak didedahkan dengan pengetahuan yang mencukupi mengenai asas reka bentuk dan pemasangan IBS di tapak bina. Oleh itu, sebarang hasil kajian mengenai IBS boleh didokumenkan untuk dikongsi bersama pemain industri.
6) Pensyarah boleh mengenal pasti penambahbaikan yang perlu dilakukan dalam proses semakan modul dengan memasukkan topik-topik berkaitan teknologi terkini dalam industri pembinaan ke dalam modul sedia ada dan juga membangunkan modul baru yang bersesuaian dengan keperluan masa kini dalam industri pembinaan.
7) Pensyarah juga dapat menimba pengetahuan dan kemahiran yang sangat berharga dalam kerja-kerja konsultansi dengan bekerja secara pasukan bersama para jurutera serta pemain industri.
8) Meningkatkan jaringan antara fakulti dan universiti dengan industri.
Universiti dan industri boleh berkolaborasi dari segi penyelidikan dalam bidang-bidang tertentu. Pakar-pakar yang berpengalaman luas dari industri juga boleh dijemput untuk berkongsi pengalaman mereka dengan pensyarah dan pelajar.
Selain itu, mereka juga boleh dilibatkan dalam memberi idea dan pandangan dalam penambahbaikan program yang ditawarkan. Pensyarah pula melalui Sangkutan Industri dapat berkongsi pengetahuan dan kepakaran mereka dengan jurutera dan pekerja lain di lapangan.
Kesimpulannya, kecekalan dan kesungguhan pensyarah dalam memperbaiki pencapaian diri dan kualiti penyampaian kuliah mereka adalah kunci kepada kecemerlangan graduan.
Manakala kerjasama yang baik antara IPT dan industri menjamin pembangunan kurikulum, penilaian pelajar yang berterusan dan persediaan graduan untuk menempuh alam pekerjaan.
Penguasaan pensyarah terhadap teknologi terkini dan amalan baik dalam industri perlu diberikan perhatian agar pengisian pembelajaran dan pengajaran dapat diperkukuhkan.
Namun, walaupun diketahui kepentingan dan kebaikan program Sangkutan Industri ini, hanya peratusan kecil pensyarah yang bersedia mengikutinya.
Pihak IPT tidak mewajibkan Sangkutan Industri kepada pensyarah sebagaimana pelajar diwajibkan mengikuti Latihan Industri.
Sebaliknya, IPT hanya menggalakkan pensyarah bersangkutan industri bagi mendapatkan kelayakan Jurutera Profesional.
Pada pendapat penulis, melihat kepada kebaikan dan apa yang dapat diperolehi dari proses ini, IPT boleh mewajibkan Sangkutan Industri ini kepada semua pensyarah mengikut giliran, terutama dalam bidang kejuruteraan dan TVET yang lain.
Artikel berkaitan
Bahana mengejar KPI, kompetensi dan profesionalisme pensyarah terjejas
Gadis Cina fasih berbahasa Melayu, Mek Yun UTHM raih 2 anugerah
2 Jurutera Pengajar wanita dari UTeM kini pengendali dron profesional