Melihat dunia pendidikan khas hari ini, para pendidik yang mengajar dan membimbing murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) sememangnya berhadapan dengan satu bentuk cabaran yang memerlukan kesabaran serta keikhlasan hati dalam menyalurkan ilmu demi kemenjadian murid-murid ini.
Namun, cabaran tersebut akan berubah menjadi keseronokan apabila didikan bersama golongan istimewa itu dilengkapi dengan penyampaian pembelajaran yang baik serta diiringi dengan niat yang murni.
Tidak dinafikan, rata-rata MBPK yang berada di kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) mempunyai kelemahan yang agak ketara dalam penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).
[caption id="attachment_48156" width="400"] Salah seorang MBPK melukis menggunakan teknik basah atas basah dan silhouette.[/caption]
Untuk itu, usaha mempersiapkan murid-murid ini dalam bidang kemahiran seperti kulinari, refleksologi, hospitaliti dan pertanian adalah tindakan yang wajar dan perlu bimbingan secara berterusan supaya kemahiran tersebut dapat dimanfaatkan dalam bidang kerjaya apabila mereka telah tamat persekolahan kelak.
Melihat dari satu sudut yang berbeza, bidang seni visual juga mampu memberi impak positif dan pulangan yang lumayan kepada MBPK sekiranya ia dijadikan sebuah produk kreatif.
Minat dan bakat mereka harus digilap melalui pendekatan yang sewajarnya agar mampu bersaing secara sihat dengan murid-murid lain di aliran perdana.
[caption id="attachment_48157" width="400"] Cikgu Mohd Saifullah mengajar MBPK menghasilkan karya menggunakan teknik stensil dan percikan.[/caption]
Menyedari tahap dan penguasaan kebanyakan MBPK dalam bidang seni visual adalah terhad, ia berbalik kepada kreativiti dan kebijaksanaan guru untuk mencari alternatif terbaik agar sesebuah karya seni yang dihasilkan bersesuaian dengan tahap penguasaan kemahiran yang dimiliki.
Ini kerana, seni itu adalah sesuatu bidang yang indah dan menarik untuk diterokai. Karya seni yang tinggi nilainya bukan hanya dipandang pada catan yang bersifat realistik.
Malah, karya seni itu boleh dihasilkan dengan pelbagai kaedah dan teknik sama ada pada aras mudah, sederhana mahupun sukar.
Guru harus kreatif dalam menggabungkan aneka teknik mudah untuk diaplikasikan oleh MBPK antaranya kolaj, percikan, gosokan, titisan, stensilan, basah atas basah, resis, capan dan banyak lagi.
Bimbingan yang baik dan bersesuaian daripada guru boleh membantu murid untuk mengolah idea yang terhad tetapi mempunyai nilai yang besar.
Permulaan MPK dalam meneroka MBPK dalam bidang seni visual ini harus dipimpin dan dicorakkan oleh guru.
Pengaplikasian aneka teknik dalam seni visual juga membantu guru untuk mengenal pasti kekuatan seseorang murid itu bagi menggilap potensinya.
Sebagai contoh, seseorang MBPK itu berkemungkinan tinggi dapat mengikuti pembelajaran dengan mudah serta berbakat menggunakan teknik basah atas basah tetapi lemah dalam penggunaan teknik resis.
Sehubungan itu, guru boleh mengasah kekuatan kemahiran murid tersebut pada teknik yang dilihat mampu menyerlahkan bakat seninya dengan olahan pelbagai objek yang menarik.
Medium yang digunakan boleh dicampurkan penggunaanya seperti warna pensel, krayon, warna air atau akrilik mengikut kepakaran.
Kaedah pengajaran yang menarik dan berkesan dilihat mampu merangsang minat mereka yang mungkin belum pernah disedari oleh ibu bapa atau para guru.
Contohnya, teknik kolaj bukan sekadar menampal kertas warna atau surat khabar dengan menggunakan gam pada helaian kertas lukisan sahaja.
[caption id="attachment_48153" width="600"] Antara karya kolaj menggunakan glitter form, flyers, majalah, daun kering, kulit kayu dan tisu.[/caption]
Malah, bahan lain juga boleh digunakan seperti daun kering, kulit kacang, ‘glitter form’, risalah, majalah, kain perca dan tisu.
Kepelbagaian idea dalam pemilihan dan penggunaan bahan serta alatan akan meningkatkan minat MBPK terhadap subjek seni visual.
Mereka pasti akan berasa teruja untuk menyiapkan tugasan dan mahu melakukannya berulang kali dengan olahan yang berbeza sehingga terhasilnya sebuah karya yang berkualiti tinggi.
Di samping mengasah bakat dan membina potensi, bidang seni visual ini sebenarnya mampu mengembangkan daya pemikiran MBPK.
[caption id="attachment_48164" width="400"] Cikgu Saifullah bersama MBPK terlibat dalam pameran seni sempena Eco School International Conference di Hotel Sentral Riverview, Melaka pada tahun 2017.[/caption]
Mereka bukan sekadar perlu memegang pensel dan menconteng kertas lukisan semata-mata.
Dalam penghasilan sesebuah karya, murid harus berimaginasi dan menterjemahkan buah fikiran mereka secara visual di atas kertas lukisan atau kanvas putih mahupun kayu bagi seni ukiran.
Bukan itu sahaja, mereka juga perlu berfikir tentang medium dan olahan warna yang hendak digunakan agar hasil karya lebih cantik dan bermakna.
Proses ini memerlukan kesungguhan, kreativiti, ketelitian, kesabaran dan keyakinan diri yang tinggi.
Penerapan aspek ini yang membuatkan sesebuah karya itu lebih bernilai dan tinggi harganya apabila dikomersialkan.
Sebagai contoh, seseorang murid membayangkan alam safari atau hidupan liar di hutan sekali gus memikirkan watak-watak dengan sifat-sifat tertentu dan kemudiannya idea itu akan diilustrasikan dalam sebuah karya seni visual.
Di sinilah bermulanya cabaran dan perkembangan daya pemikiran murid. Teknik paling mudah untuk diaplikasikan ialah teknik ‘silhouette’ iaitu teknik bayangan objek utama dengan memberi kesan warna gelap.
Pada masa yang sama, tambahan teknik lain boleh digunakan seperti gosokan, percikan dan stensil dengan olahan warna yang sesuai mengikut kreativiti.
[caption id="attachment_48154" width="600"] Kreativiti murid menghasilkan karya bertemakan fauna menggunakan teknik 'silhouette', stensil dan percikan.[/caption]
Selain itu, aktiviti seni ini turut membantu meningkatkan penguasaan kemahiran motor halus dan motor kasar MBPK seperti melakar, menggunting, menampal, mengoyak, merenyuk, melipat dan memegang alatan mewarna.
Proses ini memberi impak yang positif terhadap kekuatan psikomotor dan kemenjadian murid. Walaupun ia dilihat sebagai sesuatu yang mudah oleh masyarakat umum, namun ia merupakan satu manfaat yang besar buat mereka yang istimewa dari segi fizikal dan kognitifnya.
Rangkuman kemahiran tersebut secara tidak langsung membantu murid membina keyakinan diri, membuat penilaian dan mengenali cita rasanya sendiri.
[caption id="attachment_48152" width="601"] Karya Cikgu Mohd Fadli (kiri) yang menggabungkan teknik kolaj dan basah atas basah, manakala karya murid MBPK, Shahrul Fitri (tengah) menggabungkan teknik stensil, percikan, titik-titik dan goresan serta karya yang menggunakan konsep minimalis (kanan).[/caption]
Dalam pada itu, kreativiti dan pemilihan pendekatan yang menarik boleh membantu meningkatkan fokus dan perubahan tingkah laku murid ke arah yang lebih baik, terutamanya bagi anak autisme dan hiperaktif.
Sekiranya murid dalam golongan ini menyukai sesuatu teknik atau cabang seni, mereka akan melakukan secara berulang kali dan fokus terhadap tugasan seni sehingga terhasil sebuah karya.
Para guru digalakkan memberi kelonggaran kepada mereka untuk mereka berlatih dengan penghasilan karya yang bersifat peniruan berbanding karya asal yang diperoleh daripada mana-mana sumber kerana lama-kelamaan, karya baharu yang dihasilkan akan wujud olahan yang berbeza mengikut daya imaginasi MBPK.
Tambahan pula, harga sesebuah karya seni dalam pasaran boleh mencecah ratusan atau ribuan ringgit bergantung kepada kualiti, keunikan dan nilai estetika karya yang dihasilkan.
[caption id="attachment_48161" width="600"] MBPK terlibat dalam pameran sempena Karnival Transformasi Komuniti Pendidikan Khas melalui Keusawanan Sosial di UTeM pada tahun 2019.[/caption]
Secara keseluruhannya, MBPK harus membuktikan air tangan mereka juga mempunyai keunikan yang boleh dibanggakan.
Di samping bimbingan guru, sokongan pelbagai pihak termasuk masyarakat, pihak kerajaan dan swasta juga sangat penting dalam membantu pembangunan MBPK berada di tahap yang tertinggi.
Maklumat Penulis
Cikgu Mohd Saifullah Abd Rahim
Guru Pendidikan Khas
SMK Datuk Haji Abdul Wahab
Sungai Siput (U), Perak
Artikel berkaitan
5 panduan pupuk minat murid-murid dalam bidang seni visual
5P yang diperlukan bagi mendidik kanak-kanak pendidikan khas
Guru Adiwira PAK 21 ini guna lego dan Elemen 4K1N ajar MBK Masalah Penglihatan