Seni merupakan antara elemen penting bagi kesihatan minda dan terapi kepada seseorang individu kerana nilai estetika dan kehalusan seninya berfungsi melahirkan aura positif.
Situasi masa kini yang memberi tekanan, membuatkan ramai individu menghadapi masalah dengan emosi mereka sendiri.
Perkara ini turut terjadi kepada para pelajar yang kini terpaksa menjalani proses Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR).
Keadaan sekeliling dan keadaan rumah yang tidak selesa, mengakibatkan mereka tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap sesi pembelajaran yang berlangsung.
Oleh itu, guru yang berperanan sebagai pembakar semangat pelajar perlu memahami permasalahan yang dihadapi setiap pelajarnya.
Penerapan unsur seni dalam proses pembelajaran adalah salah satu cara bagi melahirkan suasana harmoni semasa sesi pembelajaran.
Ini kerana, unsur seni mampu mengubah emosi sekali gus menaikkan semangat pelajar untuk mengikuti kelas yang berlangsung.
Antara unsur seni yang sesuai digunakan oleh guru-guru ialah lakonan, nyanyian, sajak, syair, pantun dan sebagainya.
Ramai guru hari ini terlalu terikat dengan cara pengajaran formal atau tidak tahu cara untuk menyelitkan elemen seni sehingga menyebabkan sesi pembelajaran tidak berlangsung dengan baik.
Susulan itu, GPSBestari ingin berkongsi cara untuk para guru menyelitkan unsur seni ketika sesi pembelajaran berlangsung.
[caption id="attachment_20706" width="300"] Gambar hiasan daripada Pexels.[/caption]
1) Selitkan lawak jenaka semasa mengajar
Ramai guru terlalu bersikap serius sepanjang kelas berlangsung. Guru perlu tahu cara membantu pelajar untuk terus fokus di depan monitor dalam masa yang agak lama dengan topik pembelajaran yang ‘membosankan’. Oleh itu, cara terbaik adalah dengan menyelitkan unsur lawak jenaka bagi ‘memancing’ perhatian pelajar untuk terus memberi perhatian.
2) Jadikan unsur seni sebagai contoh
Dalam proses pembelajaran, penggunaan sesuatu contoh sangat penting bagi menambahkan pemahaman pelajar terhadap sesuatu topik yang dipelajari. Oleh itu, guru-guru perlu menggunakan elemen seni seperti menggambarkan sesuatu dalam bentuk lukisan. Ini kerana, kebanyakan pelajar lebih mudah memahami sesuatu gambaran dalam bentuk visual.
3) Ubah cara tugasan pelajar
Guru-guru perlu mengubah cara tugasan yang terlalu formal kepada penerapan elemen seni. Sebagai contoh, para pelajar boleh menggunakan teknik lakonan semasa pembentangan agar proses pembelajaran itu lebih mudah difahami dan diterima pelajar.
Diharapkan perkongsian ini dapat memberi idea kepada para guru dalam melaksanakan sesi pengajaran yang lebih efisien.
Elemen seni bukan sahaja berfungsi untuk menarik minat para pelajar bahkan mampu menjadikan cara pengajaran lebih produktif.
Oleh itu, para guru perlu bersikap lebih terbuka demi memastikan sesi pengajaran berlangsung dengan baik.