Panggilan yang dibuat untuk sesi temu bual GPSBestari baru-baru ini disambut mesra oleh ikon dunia seni muzik yang juga merupakan Pensyarah Vokal di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Datuk Syafinaz Selamat.
Berterima kasih kerana membangkitkan isu ‘Kepentingan Pendidikan Seni Muzik’, Syafinaz berkata, hari ini bidang muzik berbeza jika hendak dibandingkan dengan zaman dahulu.
Menurutnya, muzik hari ini bukan sekadar hobi atau hiburan semata-mata tetapi ia mampu menjana pendapatan sekiranya ia dipraktikkan dengan betul.
"Hari ini dengan adanya ilmu, seni muzik satu bidang yang cukup luas, menawarkan pelbagai pekerjaan dan tidak semestinya hanya menjadi penyanyi.
"Hari ini seni muzik lebih kepada kerjaya dan sudah tiba masanya orang ramai hormati muzik itu sebagai satu kerjaya dan bukannya sekadar hobi,” jelasnya.
Pendidikan awal
Untuk menjadikan muzik sebagai kerjaya, personaliti berpengalaman lebih daripada 35 tahun dalam dunia seni ini menyarankan agar ilmu muzik diajar seawal mungkin kepada anak-anak.
Syafinaz melihat pendidikan seni muzik di peringkat sekolah rendah adalah perlu kerana bak kata pepatah ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’.
Ia bertujuan membekalkan mereka dengan ilmu asas yang lengkap sebelum menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi.
Juga tidak menafikan muzik adalah satu seni yang mahal, Syafinaz menyifatkan ini antara faktor yang menjadikan muzik itu kurang dititikberatkan selepas tamat peringkat sekolah rendah.
"Selain harga peralatan muzik yang mahal, tidak dinafikan guru yang berkelayakan di dalam bidang muzik juga tidak ramai.
"Mungkin inilah antara sebab kenapa muzik dilihat sekadar hobi semata-mata tetapi hakikatnya, mereka yang sanggup berbelanja akan memperoleh ilmu,” katanya.
Tingkat kemahiran
Turut mengakui muzik merupakan satu bidang yang penuh dengan kemahiran dan tidak hanya bersandarkan kepada bakat semata-mata, Syafinaz berkata, mereka yang meminati seni muzik merupakan orang yang kreatif, bertanggungjawab, berdisiplin, aktif dan cerdik.
Ini kerana sekiranya mereka seorang pemain alat muzik, kesemua anggota badan akan bergerak pada masa yang sama di mana otak perlu berfikir, tangan perlu bermain, mata perlu membaca nota-nota dan kaki juga bergerak.
Ini secara tidak langsung akan menjadikan mereka seorang yang berdisiplin kerana perlu berlatih setiap hari agar tidak ketinggalan.
Bicara Syafinaz lagi, kemahiran bidang seni muzik bukanlah satu kemahiran yang mudah dicapai melainkan ia disusuli dengan kegigihan, kecekalan, kesabaran dan komitmen.
"Hari ini masyarakat perlu memandang seni sebagai satu bidang yang serius dan sesiapa yang ingin ‘masuk’ dalam bidang ini perlu penuhkan ilmu di dada terlebih dahulu,” katanya.
Informasi
Di negara kita, terdapat lima buah sekolah seni selain sekolah muzik persendirian, sekolah rendah dan menengah yang menawarkan mata pelajaran seni muzik untuk didedahkan kepada anak-anak.
Pendidikan seni muzik juga ditawarkan sehingga ke peringkat tertinggi pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi.
PROFIL
Nama sebenar: Syafinaz Selamat
Umur: 48 tahun
Tarikh lahir: 11 Januari 1973
Asal: Pontian, Johor
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Muzik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Pekerjaan: Selain bergelar penyanyi profesional, Syafinaz juga merupakan Vokal & Choir Specialist.
Bilangan adik beradik: Bongsu daripada 11 adik beradik
Anugerah yang pernah diterima dalam bidang seni
- Pingat Emas dalam kategori R&B, Pop, Rock Kontemporari di World Championships of Performing Arts di Los Angeles (1999)
- Pencalonan sebanyak dua kali dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) bagi kategori Persembahan Vokal Wanita Terbaik untuk dua buah album (Ingin Bersamamu (1999) dan Syyh….Syafinaz (2001)
- Pencalonan Anugerah Bintang Popular Berita Harian bagi kategori Penyanyi Wanita Popular (1998/1999)
- Anugerah Seri Angkasa
- Anugerah Era (AE) 2002
Album
- Syafinaz (1989), Syafinaz…Ingin Bersamamu (1999), dan Syhh…Syafinaz (2001)
Media social: Instagram: datuksyafinazofficial