Era globalisasi kini, yang menumpukan kepada pemasaran digital seperti platform Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya telah menerima satu kejutan baharu dengan kebangkitan aplikasi Tiktok.
Kewujudan aplikasi Tiktok yang menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat sejak beberapa tahun lalu, kini berubah secara mendadak apabila aplikasi ini seolah-olah memberi sinar baharu di hati masyarakat.
Ini kerana, aplikasi ini telah berjaya mengumpul pengguna yang ramai di seluruh dunia.
Sehubungan itu, GPS Bestari berkesempatan menemui seorang pelajar Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering Terengganu, Hanis Farisha Mohd Shariff, 19, untuk berkongsi pendapat mengenai aplikasi Tik Tok.
Menurut Hanis Farisha, kini setelah Tiktok popular, dirinya tidak terkecuali menjadi pengguna tegar aplikasi tersebut.
"Saya mula ‘bermain’ Tiktok selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pada awalnya, saya ‘bermain’ hanya sekadar untuk berseronok sahaja.
"Jika dilihat dari sudut manfaat, aplikasi ini mempunyai kebaikan dan keburukannya, namun ia bergantung kepada individu itu sendiri untuk menggunakannya ke arah yang betul atau pun tidak.
Justeru itu, Hanis Farisha turut mengakui kelekaan bermain Tiktok pernah memberi kesan negatif kepada pembelajarannya.
"Secara jujurnya, pelajaran saya pernah terjejas kerana keasyikan bermain Tiktok.
"Saya terlalu leka sehingga tidak pandai bahagikan masa dengan betul tetapi Alhamdulillah, dengan niat yang betul untuk mengutamakan pelajaran, akhirnya saya berjaya membahagikan masa yang saya ada dengan sebaiknya,” katanya lagi.
Hari ini aplikasi ini bukan sahaja dijadikan sebagai sumber hiburan tetapi ramai yang menggunakan platform ini ke arah yang lebih memberi manfaat.
"Pada masa ini, Tiktok sudah banyak fungsinya dan penggunanya juga sudah semakin ramai dan meluas.
"Ini kerana, video sebegini banyak memberi inspirasi kepada kita sekali gus berfungsi sebagai terapi semasa stres,” jelasnya.
Mengulas mengenai pandangan masyarakat yang menganggap aplikasi ini tidak memberi faedah, Hanis Farisha tidak bersetuju kerana ia satu tuduhan bersifat membuta tuli.
"Bagi saya, mereka melihat Tiktok menggunakan mata kasar dan mereka juga tidak terdedah dengan kandungan Tiktok yang semakin meluas dari hari ke hari,” katanya.
"Apa yang ingin saya katakan, terutamanya kepada kawan-kawan yang banyak menghabiskan masa dengan Tiktok, gunalah platform ini sebaik mungkin.
"Banyak perkara berfaedah yang boleh dimanfaatkan demi kemajuan diri sendiri dan tidak salah untuk mencari hiburan tetapi biarlah berpada-pada,” tambahnya sebelum mengakhiri perbualan.