Cinta yang terhalang oleh restu ibu bapa adalah sebahagian daripada kehidupan seharian kerana ramai pasangan mengalaminya dalam dunia realiti ini.
Tetapi tahukah anda cinta juga boleh terhalang oleh masalah kesihatan? Contohnya penyakit darah seperti Talasemia.
Sebahagian besar pasangan yang terlibat dalam perkahwinan campur menyumbang kepada penularan penyakit Talasemia di semua negara di dunia.
Kini, jumlah individu di Malaysia yang menghidap Talasemia meningkat dan ini bermakna darah mereka berbeza sedikit daripada darah orang lain.
Menurut Portal My Health, setiap satu daripada 20 rakyat Malaysia mengalami masalah ini dan kebanyakan pesakit adalah daripada keturunan Melayu, Cina dan kaum Bumiputra Sabah.
Tulis portal itu lagi, Talasemia merupakan salah satu penyakit yang menghalang tubuh daripada menghasilkan darah yang cukup berkualiti.
Ini berlaku disebabkan perubahan dalam gen yang mengawal protein tertentu yang dipanggil hemoglobin.
Hemoglobin berlaku secara semula jadi dalam sel darah merah dan membantu mengangkut oksigen ke seluruh badan. Sekiranya terdapat perubahan dalam hemoglobin, kekurangan darah boleh menjadi masalah besar.
Menurut Pakar Perunding Hematologi, Hospital Columbia Asia, Bukit Rimau, Shah Alam, Selangor, Dr Habibah Abdul Halim dalam satu temu bual, Talasemia boleh diturunkan kepada kanak-kanak melalui genetik ibu atau bapa.
Selain itu, Talasemia, sama ada Alphaglobulin, Beta-globulin atau Talasemia Beta, berlaku apabila mutasi berlaku dalam hemoglobin iaitu protein dalam sel darah merah yang memberikan warna darah dan membawa oksigen.
Beliau juga berkata, kebanyakan mutasi ini diturunkan kepada generasi seterusnya.
Pada asasnya, penyakit genetik ini dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Alpha dan Beta.
Alpha terdiri daripada empat jenis iaitu Alpha Thalassemia Trait, Hemoglobin H (HbH), Hydrops Fetalis (Alpha Talasemia Major) dan pembawa senyap.
Manakal Beta pula terbahagi kepada dua kawasan dikenali sebagai Talasemia Beta Ringan dan Talasemia Beta Utama atau lebih dikenali sebagai Anemia Cooley.
Ciri khas penyakit ini ialah tumpuannya kepada kumpulan etnik tertentu dan sebilangan besar kes dilaporkan dari Sabah iaitu 22.72 peratus menerusi sebuah kajian bertajuk Kajian pemerhatian status terkini Talasemia di Malaysia dengan 4,444 laporan Pejabat Pendaftaran Talasemia Malaysia.
Pada masa ini, rakyat Malaysia adalah kumpulan etnik terbesar sebanyak 63.95 peratus dengan diagnosis utama ialah Hemoglobin E/Talasemia Beta pada 34.37 peratus.
Persoalannya, adakah pesakit Talasemia boleh sembuh?
Menurut pakar kanak-kanak terkemuka Indonesia, Dr Dejandra Rasnaya, pesakit Talasemia biasanya mempunyai jangka hayat 20 hingga 30 tahun.
Bagaimanapun, sesetengah pesakit Talasemia hidup sehingga 50 tahun.
Katanya lagi, melalui usaha mengesan genetik pasangan anda, ia sebenarnya boleh mencegah Talasemia di kawasan masing-masing.
Faktor kesihatan main peranan
Cinta sejati sememangnya penting dalam perhubungan, tetapi faktor kesihatan juga memainkan peranan yang besar.
Oleh itu, jika gabungan genetik itu menghidap Talasemia, ibu bapa pasti akan menurunkan penyakit berbahaya kepada anak mereka. Renung-renungkanlah.
Bagi mengelak kelahiran bayi yang menghidap Talasemia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperkenalkan Ujian Talasemia kepada pelajar Tingkatan Empat pada tahun 2016.
Semua ibu bapa kepada pelajar itu akan menerima maklumat mengenai penyakit tersebut dan surat kebenaran menjalankan Ujian Talasemia melalui sekolah masing-masing.
Selain itu, sejumlah RM2,020,200 diperuntukkan untuk ujian molekul bagi mengesan Talasemia pada 2021.
Oleh kerana kos rawatan yang tinggi, usaha mencegah penyakit Talasemia adalah perlu bagi memastikan pengurangan bilangan pesakit baru.
Sekarang anda sudah pun mengetahui apa itu penyakit Talasemia dan mengapa Talasemia mampu menghalang dalam sesebuah perhubungan.
Ringkasnya, Talasemia ialah penyakit genetik yang boleh menyebabkan pelbagai kesan kesihatan yang serius.
Rawatan boleh membantu mengurangkan gejala dan komplikasi keadaan ini.
Bagaimanapun, adalah penting untuk kita semua memahami kesan berkenaan dan cara terbaik merawatnya.
Dengan pemahaman yang baik dan rawatan berkesan, pesakit Talasemia boleh menjalani kehidupan sihat dan produktif sekali gus mengurangkan bilangan pesakit Talasemia pada masa hadapan.
Maklumat Penulis
Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka, Syazwani Roslan
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my