Dalam era lonjakkan teknologi dan arus globalisasi mendominasi landskap sosial, generasi Z sebagai pewaris masa hadapan terperangkap dalam dinamik yang merentasi keinginan dan realiti.
Di Malaysia, generasi Z terdiri daripada individu lahir antara pertengahan 1990-an hingga awal 2010-an. Mereka merupakan generasi yang lahir dengan akses mudah kepada teknologi digital.
Gajet seperti telefon pintar, tablet dan akses internet yang cepat telah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian.
Kehadiran media sosial menjadi platform utama di mana mereka berkongsi pengalaman, pandangan dan gaya hidup masing-masing. Disebabkan itu, generasi Z menjadi sasaran utama dalam trend kemewahan di negara ini.
Gaya hidup mewah sering kali dipamerkan melalui media sosial, telah menjadi satu fenomena yang mendominasikan pemikiran dan tindakan masa kini.
Di sebalik semua ini, timbul persoalan dalam kalangan ramai iaitu sejauh mana generasi Z dapat mengejar impian kemewahan tanpa kehilangan hakikat hidup?
Justeru, penting untuk kita menyedari kemewahan yang dipaparkan di media sosial mungkin tidak sentiasa mencerminkan realiti.
Sebenarnya, trend kemewahan melibatkan generasi Z tidak hanya terbatas pada aspek material seperti pakaian, aksesori dan kereta berjenama sahaja tetapi juga melibatkan dimensi maya di mana kehidupan diukur melalui metrik digital seperti jumlah pengikut dan like dalam platform media sosial.
Fenomena ini memberikan gambaran yang kompleks dalam masyarakat digital kontemporari hingga mencetuskan pertanyaan tentang sejauh mana keinginan berkenaan mencerminkan realiti kehidupan mereka.
Pengukuran kejayaan sering kali disandarkan pada parameter kuantitatif seperti jumlah pengikut dan like, tanpa mempertimbangkan aspek kualitatif kebahagiaan dan kepuasan hidup yang sebenar.
Kemewahan generasi Z
Kemewahan sering kali dikaitkan dengan status sosial dan populariti.
Generasi Z secara rutin terpapar kepada gaya hidup mewah yang dipaparkan pempengaruh (influencer) dan selebriti di media sosial.
Fenomena ini mencipta tekanan sosial untuk menunjukkan kemewahan melalui pemakaian produk berjenama dan gaya hidup glamor, menciptakan satu corak kehidupan yang dihargai berdasarkan visual serta persepsi maya.
Dalam perkara berkenaan, aspek tekanan mental dan emosi perlu diberi perhatian serius.
Perlumbaan untuk mencapai status kemewahan dapat memberikan beban psikologis yang signifikan kepada generasi Z, menyebabkan masalah seperti kecemasan sosial, rendah diri dan tekanan mental.
Kemewahan generasi Z dalam konteks ini merujuk kepada kecenderungan untuk mengejar dan menunjukkan kekayaan, populariti dan pengiktirafan dalam kalangan rakan sebaya.
Mereka tidak hanya menghadapi tekanan untuk memiliki barang-barang mewah, tetapi juga berlumba untuk menunjukkan gaya hidup sebegini di laman sosial.
Inilah yang mendorong perlumbaan tanpa henti untuk menunjukkan kekayaan dan populariti.
Gaya hidup mewah remaja boleh mencetuskan ketidakselesaan emosi, tekanan kewangan dan mengabaikan nilai-nilai sejati seperti kesederhanaan.
Berdasarkan data yang dikeluarkan Sinar Harian pada 27 Oktober 2023, 68 peratus responden generasi Z lahir dari tahun 1997 hingga 2012 didapati menyimpan kurang daripada RM500 sebulan berbanding 71 peratus purata negara atau 70 peratus milenial.
Laporan kajian Pantauan Ekonomi Malaysia Disember 2019 yang diterbitkan Bank Dunia, menganggarkan sejumlah 60 peratus daripada keseluruhan individu muflis di Malaysia adalah daripada golongan berkenaan, ekoran tabiat berbelanja melebihi pendapatan.
Trend kemewahan generasi Z menyuntikkan unsur kompetitif yang tinggi dan mencipta tekanan mental luar biasa.
Kesannya tidak terbatas pada masalah psikososial semata-mata, tetapi juga menjejaskan kemampuan mereka membangunkan hubungan interpersonal yang sihat.
Mereka yang tidak mampu mengekalkan piawaian kemewahan ini sering merasa terpinggir dan kurang bernilai, memicu kecenderungan masalah kesihatan mental seperti kecemasan dan kemurungan.
Rancang dengan bijak
Dalam menangani kerumitan hidup secara mewah, mereka perlu membentuk landasan kukuh melalui perancangan yang bijak.
Untuk mencapai kestabilan kewangan optimum, perancangan bajet terstruktur dan sistematik merupakan aspek sangat penting.
Pentadbiran pendapatan dengan teliti dan konsisten dalam mengawal aliran tunai adalah langkah penting dalam memastikan kecekapan kewangan.
Sebagai contoh, memandang kepada aspek pelaburan, penyertaan dalam instrumen kewangan seperti Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) langkah yang bijak dan pertimbangan perlindungan kewangan melalui polisi insurans yang disesuaikan dengan keperluan individu.
Dengan perancangan holistik ini, generasi Z dapat membina dasar kewangan kukuh untuk menghadapi cabaran dengan ketenangan dan kebijaksanaan.
Sementara itu, untuk mengatasi cabaran hidup mewah tanpa kewangan stabil, generasi Z perlu diberi arahan mengenai kebijaksanaan kewangan.
Melalui kesedaran dan pendidikan yang diselaraskan, mereka dapat belajar menavigasi kehidupan dengan lebih cermat dan mencapai kebahagiaan sejati tanpa terperangkap dalam ilusi kemewahan yang mungkin tidak realistik.
Perlu disorotkan kepada mereka bahawa kehidupan sebenar berlaku di bumi realiti dan pemahaman tentang tanggungjawab kewangan serta keutamaan nilai-nilai sejati menjadi kunci mencapai kesejahteraan dan kepuasan hidup yang seimbang.
Maklumat Penulis
Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka, Ishyka Arisya Putri Md Noor Abd Manandan Siti Daleela Mohd Wahid
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my