PM gesa KPT henti birokrasi, benarkan universiti buat keputusan

Iklan
Anwar (tengah) ketika melawat ruang pameran pada majlis perasmian Wacana Pemikir Global 2024 bertemakan The Next 100 years: Vision 2100 for Malaysia di UM, Isnin. Foto: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menghentikan karenah birokrasi lama yang menyaksikan kementerian membuat banyak keputusan bagi pihak universiti.

Dalam ucapannya dalam pelancaran Global Intellectual Discourse 2024 di Universiti Malaya, Isnin, Perdana Menteri berkata, kementerian itu perlu memberikan ruang di samping membenarkan pihak universiti membuat beberapa keputusan tertentu berhubung keutamaan masing-masing dan meneruskan program-program mereka.

Iklan
Iklan

"Saya bangkitkan perkara ini terutama disebabkan keperluan yang mendesak dan menyedari hakikat bahawa beberapa perkara yang dilaporkan kepada saya berhubung Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) saya dapati amat meresahkan.

"Sekiranya gerak kerja biasa masih digunakan, anda akan ketinggalan," katanya.

Iklan

Dalam ucapannya, Anwar turut menggesa kementerian melaksanakan dasar dan langkah-langkah yang jelas bagi membolehkan sektor pendidikan tinggi di negara ini melangkah maju ke hadapan.

Beliau turut menggalakkan universiti mengembangkan program-program tertentu terutama dalam kajian Kecerdasan Buatan (AI) dan universiti kemudiannya mungkin boleh melakukan lebih banyak lagi dalam beberapa tahun akan datang.

Iklan

"Kita tidak mempunyai sumber yang mencukupi, tetapi apa sahaja yang ada mesti dilakukan sekarang, yang bermakna seperti yang saya katakan kepada kementerian, saya mahu sekurang-kurangnya beberapa langkah, beberapa bentuk pelaksanaan diambil sekarang, tahun ini, tiada lagi alasan.

"Kita bercakap mengenai AI, walaupun kita mempunyai dana yang kecil di luar bajet untuk bermula dengan satu fakulti, tetapi saya pasti akan menggalakkan universiti untuk mengembangkan program itu dan mungkin beri beberapa tahun untuk melakukan lebih sedikit, yang akan membawa kepada wacana masa depan relevan dan bermakna," katanya - BERNAMA