Isu majlis graduasi diadakan di hotel kembali menjadi tumpuan susulan luahan hati seorang selebriti yang tidak berpuas hati dengan pihak sekolah mengenakan bayaran mahal kepada murid yang ingin menyertai majlis itu.
Bukan mahu berkira, namun entah dari mana datangnya idea seperti itu sehingga ia seolah-olah menjadi trend masa kini.
Soalnya kenapa perlu bermewah-mewah sehingga membebankan ibu bapa? lebih-lebih lagi bagi mereka yang kurang berkemampuan.
Mungkin ada yang mengatakan, kalau tak mampu buat cara tak mampu. Tak perlu benarkan anak-anak menyertainya kerana majlis itu bukanlah wajib.
Namun, jika berada di tempat anak kecil, adakah anda memilih untuk tidak menghadirkan diri sedangkan di sana nanti ada ramai kawan-kawan lain yang turut serta.
Riak muka kecewa dan sedih pasti terpancar di wajah anak-anak.
Sementelah, itulah momen kali terakhir bersama kawan-kawan.
Pasti secebis kenangan mahu diabadikan dalam lipatan memori sebelum berpisah.
Namun, sebahagian daripada mereka tidak mampu berbuat demikian dek kekangan kewangan.
Bagaimana pula perasaan ibu dan ayah tatkala mengungkapkan hal itu?
Sedikit sebanyak pasti timbul rasa kecewa kerana gagal menyediakan yang terbaik buat kesayangan mereka.
Justeru, budaya berlebih-lebihan seperti ini harus segera dicantas supaya tidak berlarutan dan menjalar dalam kelompok masyarakat kita.
Pandanglah dari semua sudut, termasuk empati. Dengan situasi ekonomi sekarang yang cukup merumitkan, kenapa perlu ditambah lagi bebanan di bahu ibu bapa?
Banyak lagi hal yang memerlukan pertimbangan. Apatah lagi, langkah anak-anak masih panjang ke hadapan. Belum lagi menjejakkan kaki ke universiti atau kolej.
Justeru, dahulu mana yang patut dan ajar anak-anak untuk tahu membezakan antara keperluan dengan kehendak.
Tidak sepatutnya bebanan kewangan ditambah lagi hanya kerana sikap segelintir pihak yang mahu mencipta keseronokan tanpa memikirkan natijah kepada orang lain.
Pun begitu, dalam hal ini, jangan melulu menuding jari kepada pihak sekolah semata-mata. Jika tidak ada ibu bapa yang menyokong, pasti perkara sebegini tidak akan timbul.
Itulah pentingnya peranan ibu bapa untuk menghadirkan diri dalam sesi perjumpaan di sekolah. Suara anda bakal didengari, namun ramai yang memilih untuk memberi seribu satu alasan apabila diminta berbuat demikian.
Apabila persetujuan sebulat suara untuk mengadakan majlis graduasi di hotel atau tempat eksklusif, timbul rungutan kerana terpaksa membayar sejumlah wang.
Sedangkan jika anda tampil menyuarakan pandangan, perkara sebegini tidak akan timbul.
Memetik kata-kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pihak sekolah dan ibu bapa seharusnya duduk berbincang mencari kata sepakat.
Sebenarnya, tidak salah jika ingin menganjurkan majlis sebegini, cuma bersederhanalah. Bak kata pepatah, ukur baju di badan sendiri.
Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan dalam satu kenyataan berkata, penganjuran majlis graduasi memang digalakkan.
Pun begitu, jangan terlalu berlebihan sehingga membebankan orang lain terutama ibu bapa.
Gunakan kreativiti bukan menonjolkan materialistik. Pandang dengan mata hati dan bukannya sikap pentingkan diri sendiri.
Jika si kecil sudah dilayur dengan kemewahan sebegini, tidak mustahil akan timbul 'demand' dalam diri dan pada masa akan datang, lebih daripada ini akan dituntut. Ibu bapa yang akan jadi mangsa terpaksa hadap semua ini. Percayalah!
Meriahnya sesebuah majlis graduasi itu bukan terletak kepada mewahnya atau hebatnya tempat yang dipilih, sebaliknya penghargaan dan kehadiran insan tersayang untuk sama-sama meraikan.
Yang penting sinar kebahagiaan terpancar di wajah anak-anak. Mak ayah pula tersenyum kelegaan. Betul, tak?
*Zaiton Abdul Manaf ialah Editor Sinarplus