Sebanyak 129 kelas prasekolah ditambah tahun ini bagi memberi peluang kepada lebih ramai murid mendapat pendidikan peringkat awal.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melakukan peluasan kelas prasekolah setiap tahun untuk meningkatkan enrolmen (bilangan orang yang mendaftarkan diri sebagai pelajar) ke tahap 90 peratus bagi memastikan tiada berlaku keciciran murid.
"Setiap tahun KPM melakukan peluasan prasekolah kerana permintaan terlalu tinggi.
"Malah, kita juga mahu pastikan lebih ramai murid mendapat pendidikan percuma di peringkat berkenaan terutama dalam kalangan murid berkeperluan khas,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Apresiasi Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Daerah Barat Daya dan Timur Laut di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Ahad.
Sementara itu, Fadhlina berkata, KPM turut menyediakan inisiatif Bantuan Makanan Prasekolah (BMP) dalam kalangan murid berkenaan bagi mengatasi isu malnutrisi dan kemiskinan multidimensi.
"Ia juga pastinya terkait rapat dengan naratif keciciran sebab enrolmen di peringkat pra sekolah ini, kita perlu buat lonjakan lagi untuk memastikan ia ditangani dengan lebih awal," katanya.