Pendedahan sukan para buka mata 90 pelajar

Iklan
Gelagat peserta terdiri daripada lima buah sekolah yang menyertai program Projek 'Allez Les Champions!' anjuran Kedutaan Perancis bersama PCM dan TAR UC merasai pengalaman bermain sukan paralimpik 'wheelchair basketball' di sini.

Bermain bola sepak dengan mata ditutup dan bola keranjang menggunakan kerusi roda, tidak dinafikan dapat membuka mata mereka yang tidak biasa dengan sukan para dan pergerakannya.

Bagi Zuri Kryin Zain Azrain, 16, apa yang bermula sebagai pendedahan kasual kepada sukan untuk orang kurang upaya (OKU) mengubah persepsinya kepada empati, menjadikan beliau menghargai dan lebih memahami cabaran dihadapi atlet para.

Iklan
Iklan

Pelajar SMK Convent Kajang yang merasai pendedahan pertama kepada bola sepak OKU penglihatan, bola keranjang berkerusi roda, ping-pong duduk, goalball, bola tampar duduk dan berlari sambil ditutup mata, dengan segera membangkitkan hubungan emosinya dengan sukan dan atlet para.

"Apabila saya menutup mata saya, semua deria saya seperti ditutup dan saya mendapati diri saya membayangkan menjadi salah seorang daripada mereka.

Iklan

"Saya merasakan kebanggaan dan tekanan yang mesti dihadapi mereka dalam pertandingan. Jauh di lubuk hati saya rasa sedih," katanya semasa Program Allez Les Champions di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia di sini, pada Jumaat.

Zuri berkata, bola keranjang berkerusi roda adalah yang paling mencabar kerana ia memerlukan dia mengendalikan kerusi roda sambil memegang bola dan cuba untuk memasukkan bola ke dalam bakul.

Iklan

Beliau merupakan antara 90 pelajar Bahasa Perancis daripada beberapa sekolah menengah kebangsaan yang menyertai acara Allez Les Champions yang dianjurkan Kedutaan Perancis sebagai sebahagian daripada promosi menjelang Sukan Olimpik (26 Julai hingga 11 Ogos) dan Sukan Paralimpik (28 Ogos hingga 8 September) di Paris.

Gelagat peserta terdiri daripada lima buah sekolah yang menyertai program Projek 'Allez Les Champions!' anjuran Kedutaan Perancis bersama PCM dan TAR UC merasai pengalaman bermain sukan paralimpik 'goal ball' di sini.

Semasa program itu, pelajar berusia antara 12 hingga 16 tahun berpeluang untuk meningkatkan kemahiran Bahasa Perancis mereka berkaitan sukan melibatkan diri dalam sesi perkongsian pengetahuan dengan atlet para kebangsaan, selain merasai sendiri selok-belok dan kerumitan enam sukan para.

Mereka diberikan taklimat dan peluang untuk merasai sukan yang mempunyai cabaran penglihatan seperti bola sepak OKU penglihatan, goalball, berlari dengan mata ditutup selain daripada sukan yang mempunyai cabaran fizikal seperti ping-pong duduk, bola keranjang berkerusi roda dan bola tampar duduk.

Seorang sukarelawan daripada Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT), Soo Anne berkata, acara itu merupakan satu pengalaman yang membuka matanya mengenai cabaran ahli sukan para, walaupun dia seorang peminat sukan sejak muda lagi.

"Saya mengetahui mengenai sukan para sejak saya masih agak muda tetapi saya tidak pernah melihat atau merasainya sendiri. Saya percaya setiap orang harus peka bahawa sukan para itu wujud," katanya.

Kaunselor untuk Hal Ehwal Kebudayaan dan Kerjasama di Kedutaan Perancis di Malaysia, Emmanuelle Marchand berkata, selain daripada menimbulkan keterujaan sehingga berlangsungnya Sukan Olimpik Paris, acara itu menyasarkan untuk menimbulkan kesedaran dan memberikan peserta dengan perspektif kepada nilai-nilai dalam Paralimpik.

"Penting bagi kami untuk berusaha untuk memasukkan OKU kerana banyak sukan para tidak begitu diketahui umum, jadi ini adalah peluang yang baik untuk memberikan mereka menimba pengalaman secara langsung.

"Kami akan teruskan kempen untuk Olimpik dan Paralimpik dengan pelbagai acara dan aktiviti termasuk menganjurkan kelas Bahasa Perancis untuk staf Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Paralimpik Malaysia (PCM).

Selain itu acara tahunan Festival Perancis, pameran sukan dan akan ada acara global, 'Relay' di seluruh dunia yang mana semua Kedutaan Perancis akan mengambil bahagian menerusi media sosial mengikut zon masa mereka pada 14 Mac," katanya.

Marchand berkata kira-kira 15,000 pelajar sedang mempelajari Bahasa Perancis di 120 sekolah kerajaan di Malaysia sementara lebih 300 syarikat Perancis beroperasi di negara ini. - Bernama