Khidmat khatan anak dengan fasiliti berdaftar KKM

Iklan
Saranan itu dibuat selepas mendapati peningkatan kes rujukan ke hospital kanak-kanak mengalami komplikasi selepas berkhatan.

Ibu bapa yang merancang membawa anak-anak berkhatan disaran mendapatkan perkhidmatan itu di fasiliti yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

KKM juga menasihatkan agar ibu bapa lebih cakna dan memastikan program berkhatan yang dijalankan dikendalikan oleh pengendali atau pengamal perubatan terlatih dalam menjalankan prosedur itu.

Iklan
Iklan

KKM dalam satu kenyataan berkata, saranan ini dibuat berdasarkan hasil daripada audit berkhatan bagi kanak-kanak lelaki iaitu pada 14 Disember 2023 hingga 1 Januari lalu, mendapati peningkatan bilangan kes rujukan ke hospital KKM yang mengalami komplikasi selepas berkhatan.

"Komplikasi-komplikasi ini terdiri daripada komplikasi minor seperti pendarahan dan jangkitan kuman atau komplikasi major seperti kecederaan pada glans penis, keradangan melampau serta pemotongan kulit secara berlebihan yang memerlukan pembedahan semula (corrective atau repair surgery).

Iklan

"Situasi ini pastinya menimbulkan kegusaran dalam kalangan ibu bapa yang turut membawa kepada gangguan mental dan menjejaskan perkembangan emosi kanak-kanak,” katanya.

Ibu bapa turut disaran memastikan anak lelaki berumur tujuh tahun dan ke atas sekiranya bercadang untuk mengkhatankan anak mereka di program anjuran yang dijalankan di luar fasiliti kesihatan.

Iklan

Ia kerana katanya, usia ini anak-anak lebih matang dan bersedia secara mental serta mempunyai keadaan fizikal atau anatomi zakar yang normal dan sesuai untuk berkhatan.

Bagi kanak-kanak yang tidak memenuhi kriteria itu, KKM menyeru ibu bapa mendapatkan nasihat doktor dan pakar perubatan di mana-mana fasiliti kesihatan yang berdekatan.

"Sekiranya ibu bapa merasakan dan mendapati anak mereka tidak dapat memberikan kerjasama semasa prosedur berkhatan dijalankan, adalah dinasihatkan supaya tidak meneruskan proses itu.

"Ibu bapa boleh membawa anak mereka ke hospital berdekatan bagi mendapatkan nasihat dan rawatan selanjutnya.

"Ibu bapa juga digesa untuk membawa anak ke hospital sekiranya berlaku komplikasi selepas berkhatan seperti pendarahan, perubahan warna pada zakar atau kulit sekelilingnya, jangkitan kuman (seperti demam, sakit dan bernanah) dan tidak boleh membuang air kecil,” ujarnya.

Dalam pada itu, KKM menegaskan terdapat beberapa masalah kesihatan yang tidak sesuai menjalani prosedur berkhatan di luar hospital sebagai makluman kepada ibu bapa.

Masalah tersebut adalah:

1) Fizikal anatomi zakar tidak normal seperti Hypospadias, buried penis, phimosis dan sebagainya.

2) Masalah pendarahan seperti hemofillia, Von Willebran Disease dan lain-lain.

3) Anak berkeperluan khas seperti Autism, Sindrom Down dan sebagainya.