UTeM terokai peluang kerjasama dalam TVET

Iklan
Massila (kiri) selepas sesi perbincangan kerjasama bersama Ahmad Zahid (tengah), Zambry (dua dari kiri) dan Nakano Etsuko (dua dari kanan).

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerokai peluang kerjasama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bersama Jepun menerusi Pertubuhan Kemajuan Industri, Kerohanian dan Budaya (OISCA) Antarabangsa.

Menurut Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin, kerjasama dengan Jepun berteraskan dua agenda utama iaitu TVET dan Edu Pelancongan.

Iklan
Iklan

Katanya, langkah ini merupakan pendekatan strategik yang turut menjadi titik mula pembuka ruangan kepada lapisan rangkaian lebih meluas lagi selepas ini.

"Dalam konteks TVET, kerjasama yang bakal terjalin adalah kolaborasi dalam bidang akademik dan penyelidikan inovasi termaju berkaitan penuh dengan kemajuan TVET dunia.

Iklan

"Agenda kedua yang merupakan inisiatif UTeM pula tertumpu kepada usaha pemerkasaan promosi pakej Edu Pelancongan UTeM dengan Kerjasama Melaka.

"Usaha ini merupakan impak berganda kerana promosi Edu Pelancongan berkenaan bukan hanya untuk UTeM semata-mata namun berkait langsung dalam usaha penyerlahan pelancongan dunia buat Melaka," ujarnya lagi.

Iklan

Kerjasama itu adalah hasil daripada perbincangan antara UTeM yang diwakili Massila dan Pengarah Pusat Hubungan Strategik Korporat dan Antarabangsa (UGlobe), Profesor Madya Dr Siti Hajar Sheikh Md Fadzullah.

Manakala OISCA diwakili Presiden, Nakano Etsuko dan Setiausaha Agung, Kitsuki Fumio.

Perbincangan itu diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut disertai Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Ia diadakan bersempena dengan lawatan kerja tujuh hari Ahmad Zahid ke Jepun.