Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan penyusunan semula sekolah yang mempunyai bilangan murid yang padat, bagi memastikan suasana pembelajaran yang lebih kondusif dapat disediakan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, penyusunan semula itu akan dilaksanakan segera oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) berikutan peningkatan enrolmen murid, bagi menjamin keselesaan kepada pelajar di sekolah-sekolah berkenaan.
"Saya rasa semua sekolah ada peningkatan (enrolmen), dan memang ada sekolah terima peningkatan murid lebih sedikit. Enrolmen darjah satu memang tinggi," katanya pada sidang media selepas meninjau sesi baharu persekolahan 2024/2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Putra di sini pada Isnin.
Sementara itu, KPM dalam kenyataan yang diedarkan kepada media memaklumkan pendaftaran pelajar tahun ini bermula dari prasekolah hingga Tingkatan Lima di seluruh negara adalah lebih lima juta orang dengan Selangor menjadi negeri yang mempunyai kadar enrolmen tertinggi iaitu 927,528 orang.
Enrolmen murid tahun satu adalah 466,799, manakala tingkatan satu pula melibatkan 478,594 pelajar.
"Bagi sesi akademik kali ini juga Wilayah Persekutuan Labuan menjadi negeri yang paling sedikit jumlah pendaftaran murid iaitu 1,700 orang bagi tahun satu dan 1,600 untuk tingkatan satu," menurut kenyataan itu. - Bernama