Kerajaan mempertimbangkan untuk tidak melibatkan pelajar sekolah dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang bakal diperkenalkan semula.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketetapan mengenai peserta PLKN masih dalam peringkat rundingan dan belum dimuktamadkan setakat ini.
"PLKN mungkin tidak akan melibatkan mereka yang masih bersekolah, mungkin selepas (tamat) sekolah. Itu semua kita sedang pertimbangkan dan kita mengambil maklum kebimbangan (ibu bapa) untuk kita menyesuaikannya," katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen di sini pada Selasa.
Sebelum ini, kerajaan bercadang melaksanakan semula PLKN yang dimansuhkan pada tahun 2018 menerusi dua fasa iaitu Fasa 1 melibatkan pelajar Tingkatan Empat menerusi sukatan pelajaran Kementerian Pendidikan (KPM) yang mempunyai kokurikulum seperti kadet polis, bomba dan pengakap.
Pelajar tingkatan lima dikecualikan menjalani latihan Fasa 1 untuk memberi laluan kepada mereka melakukan persediaan menempuh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun akan menyertai Fasa 2 di kem latihan tentera wataniah sedia ada.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, program yang berasaskan 80 peratus latihan ketenteraan dan 20 peratus modul kenegaraan itu dijadual dilaksanakan tahun depan.
"Kurikulum untuk kenegaraan akan dibincangkan bersama Kementerian Pendidikan Tinggi kerana ia melibatkan elemen perpaduan dan sebagainya, itu kita beri perhatian. Bagi aspek ketenteraan pula memang akan dibuat Kementerian Pertahanan," katanya. - Bernama