Cuaca panas ketika ini dijangka kekal hingga pertengahan April berikutan kurangnya awan yang boleh membawa hujan serta fenomena ekuinoks yang dijangka berlaku hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Ambun Dindang berkata, dalam tempoh ekuinoks yang menyaksikan jangka masa siang dan malam adalah sama, matahari berada tepat pada garisan Khatulistiwa dalam proses pergerakan dari hemisfera selatan ke hemisfera utara.
"Dalam tempoh itu, suhu boleh mencecah antara 35 hingga 38 darjah Celcius bergantung kepada kehadiran awan dan hujan pada masa tersebut.
"Selepas 20 Mac, kedudukan matahari berada di utara garisan Khatulistiwa termasuk di Malaysia, jadi kita menjangkakan suhu akan kekal tinggi hingga April sebab kedudukan matahari berada di utara garisan Khatulistiwa,” ujarnya pada program Bernama Radio dengan tajuk Hari Meteorologi Sedunia di Wisma Bernama.