Cuaca panas, kering dijangka berakhir tidak lama lagi

Iklan
Cuaca panas dan kering mula berkurangan awal April apabila fasa Peralihan Monsun dijangka berlaku dalam tempoh itu.

Baru-baru ini, Sinar Bestari melaporkan kebimbangan seorang ibu mengenai situasi cuaca panas yang melampau dan kering melanda negara waktu ini.

Ekoran kerungsingan ibu itu, dia telah mengutarakan soalan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tentang cuti sekolah pada bulan puasa ini.

Iklan
Iklan

"Minggu depan dijangka panas yang melampau. KPM tak nak beri cuti sekolah pada bulan puasa ke?” tulis ibu berkenaan dalam hantaran di Facebook miliknya.

Bagaimanapun, persoalan itu tidak mendapat sebarang maklum balas daripada KPM sebaliknya ia menerima pelbagai pandangan orang ramai tentang isu berkenaan.

Iklan

Walaupun cuaca panas sedang menghantui negara ketika ini, namun siapa sangka ia akan berakhir tidak lama lagi dengan pengumuman dari Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), hari ini.

MetMalaysia memaklumkan, keadaan cuaca panas dan kering yang dialami negara dijangka mula berkurangan awal April apabila fasa Peralihan Monsun dijangka berlaku dalam tempoh itu.

Iklan

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional, MetMalaysia, Maqrun Fadzli Mohd Fahmi berkata, fasa tersebut berlaku apabila terdapat perubahan arah angin daripada Monsun Timur Laut kepada Monsun Barat Daya.

"Kebiasaannya, pada fasa Peralihan Monsun, corak tiupan angin akan membawa kepada aktiviti hujan ribut petir di sebelah petang dan kita jangka situasi ini mula berlaku menjelang awal April.

"(Cuaca panas dan kering) masih akan bertahan sehingga seminggu ke hadapan tetapi kita harap dengan adanya banyak aktiviti hujan yang akan berlaku, ia akan meredakan kembali suhu agak tinggi sekarang ini," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Apa Khabar Malaysia di Bernama TV.

Dalam menghadapi cuaca panas, Maqrun Fadzli berkata, orang ramai dinasihatkan memakai pakaian bersesuaian dan selesa serta mengurangkan aktiviti luar bagi mengurangkan kesan terhadap suhu tinggi ketika ini.

Sementara itu, MetMalaysia sentiasa bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk melakukan pembenihan awan bagi meningkatkan taburan hujan sekiranya terdapat keperluan dan sebarang maklumat akan diberitahu dari semasa ke semasa.

"Sebenarnya kalau kita lihat gelombang haba di Malaysia, tidak begitu bahaya dibandingkan dengan negara lain seperti di India sehingga boleh menyebabkan kematian.

"Namun, kita memahami suasana tidak selesa yang dialami rakyat dalam keadaan panas terutama pula dalam Ramadan, dugaan sedikit tinggi,” ujarnya.

Dengan berita gembira ini, Sinar Bestari berharap ia mampu memberikan kelegaan dan kegembiraan kepada ibu bapa yang begitu bimbang dengan keadaan anak-anak di sekolah.

Insya-ALLAH, semoga baik-baik sahaja untuk murid-murid kita sepanjang Ramadan tahun ini.