Rancangan Pengajaran Harian (RPH) antara tugasan yang wajib disediakan golongan pendidik sebelum sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bermula.
Mereka (cikgu) perlu menghasilkan RPH dengan teliti meskipun pendidik tersebut adalah guru berpengalaman, guru cemerlang atau pun guru pakar.
RPH merupakan rekod khas yang disediakan lebih awal oleh guru-guru dan ia dibina sebagai panduan untuk golongan ini mengajar dengan lebih sistematik serta mampu mencapai apa yang diobjektifkan dalam PdP.
Selain itu, dokumen ini bertindak sebagai panduan yang komprehensif tentang topik yang akan diajar agar selari dengan silibus ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Malah, ia juga berfungsi memberi gambaran tentang bagaimana sesuatu topik atau sukatan pelajaran akan diajar.
Tahun-tahun sebelumnya, isi kandungan RPH setiap guru perlu merangkumi pelbagai maklumat seperti mata pelajaran, tarikh, hari, bidang pembelajaran, objektif, kriteria kejayaan, aktiviti PdP, bahan bantu mengajar (BBM), elemen merentas kurikulum, tahap pemikiran, peta pemikiran i-Think, penilaian PdP, tahap penguasaan, penilaian dan refleksi.
Bagaimanapun, pada tahun 2023, KPM memaklumkan, penyediaan rekod PdP guru di sekolah perlu patuh dan selari dengan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 1999: Penyediaan Rekod Pengajaran dan Pembelajaran yang merangkumi elemen objektif, pengajaran/aktiviti Pembelajaran dan refleksi sahaja.
Terdapat beberapa kepentingan RPH sebagai panduan guru-guru di Malaysia.
Ia terdiri daripada
1) Meningkatkan keyakinan diri guru sebelum masuk mengajar
2) Mengelakkan sebarang penyelewengan atau terkeluar daripada perkara yang hendak diajar
3) Merancang dengan teliti setiap komponen pengajaran
4) Menyediakan satu siri aktiviti untuk membantu murid mengubah sikap, kebiasaan, kebolehan dan pengetahuan ke arah yang dikehendaki
5) Menggunakan masa pengajaran secara optimum
6) Mengehadkan skop yang akan diajar dalam sesuatu jangka waktu
7) Mengembangkan pengajaran secara lancar dan tersusun
8) Mengingat bahan dan pendekatan pengajaran yang perlu untuk menyampaikan sesuatu isi pelajaran
9) Menjadi bukti dokumen persediaan guru-guru sebelum mengajar
10) Membolehkan sesuatu kelemahan yang perlu diperbaiki dan boleh diusahakan untuk sesi PdP akan datang
11) Memberi guru panduan yang terperinci untuk diikuti sekali gus membantu mereka menjadi guru lebih baik
12) Memastikan keseluruhan kelas anda berada di landasan yang betul mengikut silibus yang telah ditetapkan