Selepas 63 tahun, akhirnya pengakap perkenal seragam baharu

Iklan
MohdZin (tengah) bergambar bersama pakaian seragam baharu pengakap Malaysia pada majlis pelancarannya, Rabu lalu.

Mana-mana pelajar yang menyertai Persatuan Pengakap Sekolah tahun ini, pastinya melonjak kegembiraan apabila mereka bakal memakai pakaian seragam baharu tidak lama lagi.

Ia susulan pengumuman Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) pada Rabu yang memaklumkan pihaknya telah memperkenalkan seragam baharu pengakap yang lebih segar sejajar dengan perkembangan dunia kepengakapan moden pada era ini.

Iklan
Iklan

Menurut Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Profesor Datuk Dr MohdZin Bidin, pakaian seragam yang terdiri daripada baju berwarna 'emerald sea' dan seluar (aspen green) disifatkan lebih menarik dan efektif dengan reka bentuk baharu.

"PPM sentiasa proaktif dalam memastikan pergerakan kepengakapan negara terus bergerak selari dengan peredaran zaman. Sejak diasaskan di negara ini pada 1908, pergerakan kepengakapan melalui pelbagai fasa evolusi dan perubahan bagi memastikan ia terus relevan dan dinamik dalam melahirkan pemimpin masa depan negara.

Iklan

"Selepas 63 tahun tidak tampil dengan pakaian seragam baharu, PPM dengan sukacitanya mengumumkan pertukaran warna pakaian seragam kepada warna yang lebih segar dan moden yang dinamakan Pakaian Seragam Pengakap No. 3.

MohdZin (kiri) di samping pakaian seragam baharu pengakap yang terdiri daripada baju berwarna 'emerald sea' dan seluar (aspen green).

"Selain memberikan wajah baharu kepada pergerakan pengakap, langkah ini juga menjadi mekanisme baharu yang penting dalam usaha kita untuk mengawal dan membendung penjualan haram pakaian seragam yang semakin berleluasa.

Iklan

"Ini adalah langkah proaktif yang diambil untuk memastikan imej dan integriti pergerakan ini sentiasa terpelihara dengan sebaik-baiknya. Terima kasih saya ucapkan kepada Seri Pertiwi yang turut sama bertungkus-lumus dalam memberikan input untuk pertukaran pakaian seragam ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pakaian Seragam Pengakap No. 3 di ibu pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia, Kuala Lumpur.

Sementara itu, MohdZin berkata, PPM akan memberi kelonggaran kepada ahli untuk menggantikan pakaian seragam lama kepada yang baharu secara berperingkat.

"Pelaksanaan pertukaran pakaian seragam ini tidak akan membebankan ibu bapa atau ahli. Proses ini akan dilaksanakan secara berfasa dan pakaian seragam lama masih boleh digunakan dalam tempoh peralihan iaitu tiga tahun lagi.

"Tiada paksaan kepada mana-mana ahli untuk menukar pakaian seragam mereka. Bagi pelajar yang kurang berkemampuan, mereka boleh memakai skarf untuk menyertai sebarang aktiviti

"Penggunaan warna kelabu sebelum ini didapati menimbulkan permasalahan terutamanya dalam mendapatkan tona yang konsisten. Dengan warna baharu yang dipilih, ia diharapkan dapat menyediakan penyelesaian lebih praktikal dengan pakaian yang lebih seragam secara keseluruhan,” ujarnya.

Dalam pada itu, PPM berharap pertukaran pakaian seragam baharu dapat menarik lebih ramai ahli baharu sekali gus mempertingkatkan pertumbuhan keahlian.

"Ia adalah satu pencapaian besar yang menunjukkan PPM sedang memasuki fasa baharu. Kita sepatutnya berbangga kerana berjaya merealisasikan usaha penyegaran jenama pengakap ke arah sebuah pergerakan lebih berketrampilan dan moden selaras dengan misi Pengakap Dunia.

"Pakaian seragam baharu ini adalah lambang identiti dan kebanggaan setiap ahli PPM.

"Oleh itu, adalah penting bagi kita semua untuk menghargai dan memelihara pakaian seragam pengakap dengan penuh tanggungjawab,” akhirinya.